Segelintir pihak dilihat mengambil kesempatan menjual semula produk Dendeng Nyet Berapi pada harga dua kali ganda, berbanding harga asal ketika pempengaruh popular, Khairul Aming membuat pengenalan pelancaran produknya.
Menerusi aplikasi e-dagang seperti Shoppee dan beberapa kumpulan di Facebook, beberapa pihak didapati memasarkan produk kedua keluaran Khairul Aming itu pada harga sekitar RM29 setiap paket, kenaikan ketara berbanding RM14.90 sepeket.
Bagaimanapun, semakan oleh New Straits Times mendapati produk itu, yang dipromosikan di Shopee, ditandakan sebagai tidak tersenarai dengan jualan sifar.
Seorang penjual di Shopee menyatakan: “PRODUK INI ORIGINAL. Kami akan memesan terus dari Khairuaming untuk dihantar terus kepada anda dari Khairuaming,” demikian menurut keterangan produk itu.
Sementara itu, seorang penjual di Facebook memadamkan mesej yang dimuat naik selepas orang ramai mengkritik tindakannya mengambil kesempatan menaikkan harga.
Sebelum ini, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 32, mencipta sejarah apabila jualan Dendeng Nyet Berapi meraih lebih RM1.2 juta dalam tempoh tiga minit 39 saat, sebaik dilancarkan di platform TikTok Shop.
Khairul Aming mengumumkan berita itu pada hantaran Instagram (IG) dengan menyatakan sebanyak 80,000 pek Dendeng Nyet Berapi ‘licin’ disambar pembeli.
Khairul yang diumum Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 yang disiarkan secara langsung di stesen TV3 dan akaun TikTok Malaysia, memaklumkan Dendeng Nyet Berapi dilancarkan secara rasmi pada jam 9 malam, iaitu genap tiga tahun produk pertamanya, Sambal Nyet Berapi dijual.
Baca juga: “Aku tetap teruskan rasa suka walaupun aku tahu dia dah kahwin, aku biar diri disondol suami orang”