Malaysia Dateline

Netizen kecam KP Kesihatan selepas ucap takziah kepada keluarga korban Covid-19

Berderetan kecaman netizen selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan takziah kepada keluarga penyanyi Siti Sarah Raissuddin dan seluruh ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban akibat Covid-19.

‘Serangan’ warganet dalam ciapan Dr Noor Hisham di Twitter pagi ini juga susulan pengumuman
khas Perdana Menteri semalam berhubung pelbagai kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada individu yang sudah menerima vaksin lengkap.

Walau bagaimanapun, ‘gula-gula’ Tan Sri Mahiaddin Md Yasin itu berlaku serentak pada hari negara menyaksikan jumlah kematian harian tertinggi, 360 kes dengan jumlah keseluruhan korban Covid-19 sudah mencecah 10,749 kes.

Pengguna Twitter Dalver Singh antaranya, mengingatkan Dr Noor Hisham tidak bermain politik ketika Parlimen ditutup manakala kluster berkaitan kilang pula semakin melonjak.

“Tuan DG, bolehkah anda melakukan sesuatu untuk mengurangkan jumlah kematian akibat Covid-19 dan berhenti terlibat dalam drama politik.

Sementara itu, pengguna Twitter @nextroNoto pula menempelak Dr Noor Hisham jika masih mempunyai sedikit maruah.

“Maruah. Sekiranya ada sedikit (maruah), tunjukkan,” tegasnya.

Hal sama juga disuarakan Ariff Iskandar Shah yang menyifatkan sebahagian rakyat masih lagi mempercayai Dr Noor Hisham dalam mengawal penularan Covid-19.

“Jangan biarkan ahli politik campur tangan dalam kerja anda,” katanya.

Ramai juga kalangan warganet yang mempersoal kewajaran dari segi sains dan fakta berhubung kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara berkuat kuasa esok.

“Benarkan orang makan di kedai, tiada kuarantin rentas negara. Kes pada 18,000 hingga 19,000 setiap hari.

“Ilmu sains apa yang anda pakai?” bidas pengguna Twitter @tehsg.

Menjelang Subuh tadi, penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 36, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat Covid-19.

Semalam, kerajaan bersetuju memberikan sejumlah kemudahan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap ketika rata-rata pengamal perubatan berpendapat kelonggaran perlu dielakkan buat masa ini memandangkan negara belum mencapai imuniti kelompok selain ancaman penularan varian delta.