Netizen kongsi gambar terkini tiang jejambat Lebuhraya SPE, jelas bukan kesan retak

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian di laman X yang mendakwa berlaku keretakan di Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE) di Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Gambar yang dikatakan menunjukkan kesan ‘rekahan’ sepanjang tiang jejambat SPE itu turut ditularkan oleh pengguna platform media sosial terbabit sejak Jumaat lalu.

Mengundang keresahan orang ramai, perkongsian pengguna laman X tersebut turut berjaya mendapat perhatian Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta turut mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuhraya SPE untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian dengan kadar segera.

Kementerian Kerja Raya (KKR) kemudian mengesahkan tiada sebarang keretakan berlaku di jejambat Lebuhraya SPE seperti yang didakwa di dalam perkongsian X itu.

Sebaliknya jelas KKR, kesan hitam yang kelihatan seperti retak di sepanjang jejambat lebuh raya terbabit adalah kesan dari sambungan sendi atau struktur pembinaan.

”Hasil pemeriksaan segera di tapak pada jam 11.30 malam (Jumaat) oleh LLM, pihak konsesi SPE dan syarikat perunding EDP telah mengesahkan tiada sebarang keretakan.

“Perunding juga mengesahkan struktrur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat. Satu laporan pemeriksaan dan pengesahan selamat akan disediakan dan dikemukan kepada LLM,” kata KKM menerusi hantaran di laman X.

Sementara itu, seorang pengguna platform berkenaan turut tampil berkongsi gambar terbaharu memaparkan keadaan terkini jejambat yang dikatakan memiliki kesan rekahan.

Jelas pengguna terbabit, jejambat berkenaan tampak dalam keadaan lebih baik apabila kesan garisan hitam tersebut ‘kering’ dan jelas terlihat ia bukanlah kesan keretakan.

Sekadar info, garisan sambungan sendi pada bahagian konkrit ini sememangnya menjadi tempat lumut atau debu berkumpul hingga terlihat seperti kesan rekahan jika dipandang dengan mata kasar.

Baca juga: Pelajar SPM raih 21A 17 tahun lalu sukar dijejak, netizen syak mungkin Azali dah jadi saintis di negara orang