Malaysia Dateline

Netizen lega Ebit Lew ‘update’ status selepas 2 minggu ‘hilang’ di Gaza

Hampir dua minggu pendakwah terkenal Ebit Lew tidak mengemas kini status media sosialnya menyebabkan netizen tertanya-tanya akan keselamatan dermawan itu.

Ebit yang memuat naik gambar terakhir pada 27 Mei lalu memakumkan beliau akan bergerak ke Gaza bagi menghantar bantuan barangan keperluan asas dan ubat-ubatan.

Namun selepas hari itu, beliau tidak lagi mengemaskini statusnya telah mengundang kebimbangan netizen malah ada yang mendoakan agar beliau dipelihara keselamatan ketika berada di negara bergolak itu.

Hari ini netizen lega apabila Ebit telah memaklumkan beliau dalam keadaan baik dengan memuatkan status serta gambarnya yang mengenakan  ‘t shirt’ putih bertopi sambil merenung jauh.

“Doakan ya. Alhamdulillah semua dalam keadaan baik. Semoga menjadi asbab kebaikan,” tulis Ebit Lew di Fecebooknya yang mengundang lebih 12,000 komen dan 4,800 perkongsian.

Rata-rata netizen yang memberi komen melahirkan rasa lega dengan perkembangan pendakwah idola itu.

“Allhamdulillah.. lega rasanya dpt berita daripada Ustaz..semoga Ustaz Ebit Lew sentiasa berada dibawah perlindungan dan rahmat Allah..aaminn,” komen Ummi Shah.

“Syukur Alhamdulillah sangat-sangat dapat berita dari ustaz. Semoga UEL sentiasa dirahmati Allah dan dipermudahkan segala urusan,” kata Salmi Mohd Noor.

Jumaat lalu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan akan mengesan kedudukan Ebit Lew yang difahamkan masih berada di Gaza dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat negara terbabit.

Menurut Kementerian Luar pihaknya akan memeriksa lanjut tarikh penerbangan pulang pendakwah itu ke tanah air.

Pada 25 Mei, Ebit Lew dilapor berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir.

Bagaimanapun, tindakan Ebit Lew tidak mengemas kini laman sosial miliknya sejak berlepas ke Mesir menimbulkan kerisauan buat masyarakat negara ini khusus pengikutnya.