Tular satu video berdurasi 25 saat memaparkan seorang ‘ikon permotoran’ yang sebenarnya boleh dikatakan tidak diiktiraf ramai, dijemput untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Sungai Besi.
Nama Haqiem Stopa pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini selepas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengangkat dia sebagai ikon permotoran anak muda sehingga mencetuskan kemarahan warga permotoran negara.
Terbaru, kehadiran pemuda berkenaan memberi ceramah di sebuah sekolah, tidak disenangi rata-rata warganet yang menyifatkan dia tiada kelayakan untuk berbuat demikian.
Mereka juga menganggap perwatakan pemuda tersebut seperti ‘mat rempit’ sudah memberi gambaran tidak baik kepada pelajar-pelajar sekolah.
“Kenapa dia dijemput? Atas dasar apa? Cemerlang dalam pendidikan? Cemerlang dalam usahawan? Cemerlang dalam dunia permotoran? Aku tak setuju orang macam ini diberi peluang bercakap depan budak-budak lapisan zaman akan datang.
“Orang macam ni patut kita ignorekan, bukan diberi perhatian. Lama dah aku tahan nak post pasal budak hingusan ni. Hari ni aku dapat video ni. Kau nak tunjuk kebodohan kau aku tak kisah. Tapi untuk pelapis aku tak setuju,” tulis seorang pengguna Facebook, Kuro Bikeseller yang memuatnaik semula video berkenaan.
Bahkan, seorang guru popular di media sosial yang dikenali sebagi Cikgu Fadli Salleh, turut menyatakan rasa tidak setuju dengan tindakan pihak sekolah kerana lebih ramai yang mempunyai pengaruh lebih baik, berkelayakan memberi motivasi kepada para pelajar.
Bagaimanapun ada yang tampil mempertahankan pemuda berkenaan dan mengatakan dia pernah mendengar pemuda itu memberi ceramah. Katanya, isi ceramah pemuda tersebut sarat dengan mesej yang baik-baik dan memberi semangat kepada pelajar untuk hadir ke sekolah.
“Bukan nak support lah tapi kan saya pernah tengok dia bercakap dengan budak-budak penuh dengan mesej. Tak ada benda yang bukan-bukan. Banyak nasihat, banyak naikkan semangat budak-budak yang rasa tak nak pergi sekolah. Mungkin sebab tu juga dia dipanggil,”.
Melihat daripada rakaman video yang tular, kehadiran pemuda berkenaan yang bercermin mata hitam disambut dengan meriah. Dia juga sempat bergambar dengan para pelajar yang hadir.
Malah, menjenguk ke akaun TikTok pemuda tersebut, dia meletakkan kapsyen video yang dimuat naiknya itu dengan ucapan “Terima kasih SMK Sungai Besi,”berserta dengan tanda pagar #matrempit.
Difahamkan Haqiem Stopa dijemput ke sekolah terbabit untuk jelajah ‘Cerita Orang Gagal’ untuk membincangkan isu Buli Itu Jenayah. Penganjur memberitahu, tabiat suka memberi kecaman di media sosial adalah satu bentuk buli yang akan beri kesan kepada mangsa.
Baca juga: King Myvi buat hal lagi, parkir tengah jalan sampai kena angkat pergi tepi