Malaysia Dateline

Netizen puji MB Terengganu rujuk Dr M demi rakyat

Menerusi entri Facebooknya Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah bertemu mata dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan panduan dan rayuan tentang beberapa perkara.

Beliau turut memuat naik gambar mereka berdua di dalam pertemuan santai selama satu jam di pejabat Tun Mahathir bagi membincangkan beberapa isu yang berkait dengan hala tuju pelaburan pihak luar negara ke Terengganu.

Walaupun berbeza wadah politik, Dr Samsuri tanpa segan silu untuk mendapatkan panduan daripada Tun Mahathir demi rakyat Terengganu.

“Iaitu melibatkan projek di bawah Rolling Plan RMK-11 di bawah Teras V, isu wang tunai petroleum, baki pinjaman oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk projek LPT2, projek Khazanah Terengganu dan pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih di atas panduan dan pandangan Perdana Menteri dan berharap semoga rayuan rakyat Terengganu diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

Pertemuan mereka itu bukan yang pertama.

Samsuri sebelum ini pernah mengunjungi pemimpin 93 tahun itu bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun komen-komen di status facebook menteri besar itu rata-rata memuji tindakan beliau antaranya Muhammad Izzat menyifatkan Samsuri sebagai contoh pemimpin yang dimahukan rakyat, walaupun berbeza latar belakang politik mereka boleh bekerjasama demi menunaikan tanggungawab terhadap rakyat.

Manakala Pak Long Malaya melihat Menteri Besar Terengganu seorang profesional tidak seperti pemimpin-pemimpin Pas yang lain.

“Cuba perhatikan langkah politiknya, dia tidak menyerang sesiapa. Saya yakin kerjasama mereka akan membuahkan hasil kerana Dr Sam dan Dr M nampak selari walaupun berlainan wadah perjuangan politik. Sama-sama mengaji tinggi,” komennya.

Sebaliknya komen dari Khairi Mohamed Nor mempersoalkan kenapa kerajaan Pas Kelantan tidak boleh berbaik-baik dengan Kerajaan Pusat seperti Terengganu.

“Pilihan raya dah lepas, inilah masa untuk berbincang demi rakyat, bijak dan matang MB Terengganu,” komen beliau.