Netizen sebak baca puisi ‘broken child’ Puteri Balqis buat Fatima, sentuh hati Fazura

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon remaja, Puteri Balqis baru-baru ini membuat perkongsian menyentuh hati di akaun Instagram miliknya yang mana ia ditujukan khas untuk Nur Fatima Aisya iaitu anak kepada selebriti terkenal, Nur Fazura dan Fattah Amin.

Dalam perkongsian berbentuk puisi itu, Balqis menzahirkan harapan dan dorongan buat anak kecil berusia empat tahun terbabit supaya cekal dan membesar dengan tabah mengharungi perceraian kedua ibu bapa.

Balqis turut menyampaikan pesanan bahawa kasih sayang dan tanggungjawab ibu bapa terhadap Fatima tidak akan berkurang meskipun mereka berdua sudah tidak lagi bersama sebagai suami isteri.

“Sayang Fatima. Tinggi pengorbanan ayah dan ibumu, dik. Biar ayahmu terpaksa menghilang seketika. Namun rindu dan tanggungjawabnya pada seorang anak, tidak sekali-kali diabai walau keadaan memaksa.

“Biar ibumu dihina, kasihnya padamu tiada tara. Keduanya punya cinta yang tinggi buatmu, dik. Masyarakat dan artis cuma memekik, memerli sini sana ketika masih bernyawa. Mengambil tahu untuk beberapa hari cuma. 

“Bising seketika. Maka, biarkan dengan ilusi mereka. Bila kau membesar, aku pasti kau tidak akan menyalahkan sesiapa. Sepertimana yang mereka gembar-gemburkan,” katanya dalam perkongsian itu.

Dalam puisi tersebut, Balqis turut mengingatkan Fatima bahawa masyarakat sering kali memberikan pandangan berdasarkan apa yang dilihat tanpa cuba memahami atau mengetahui realiti sebenar.

Pelakon drama Khilaf Yang Tertulis itu turut berkongsi pengalaman peribadinya yang merasa kesal kerana tidak mampu mempertahankan ibunya ketika menerima hinaan masyarakat.

“Mereka mengharapkan aku membenci ibuku sehingga ada yang menulis, dia bakal bunuh ibunya sendiri.
Sedangkan apabila tiba waktunya, aku lebih membenci mereka. Tidak pernah sekalipun dibukanya derita sebenar.

“Selama lebih 10 tahun. Tetapi sekali dibuka, maka bertempiklah mereka mengatakan ini aib. Aku saksi kecil, yang berdiam menyaksikan derita ibuku sekian lama. Maka kini, aku tidak peduli lagi kata-kata mereka.

“Malah, kasih aku pada ibuku semakin kuat. Yang ada dalam diri aku hanya penyesalan, kerana tidak mampu mempertahankannya ketika ibuku menerima hinaan masyarakat dan orang-orang industri,” kesalnya.

Walaupun turut berhadapan dengan ujian serupa, Balqis bagaimanapun menyifatkan nasib Fatima lebih baik daripadanya kerana kanak-kanak itu masih mempunyai kedua orang tua yang menyayanginya.

Gadis berusia 17 tahun itu juga berharap agar Fatima tidak bersedih dengan pandangan orang lain sebaliknya hidup dalam kebahagiaan selain menjadi pengubat derita buat kedua ibu bapanya.

“Masa akan tiba untuk kau lebih bijak berfikir dalam membuat keputusan. Dengarlah luahan mereka, jadilah pengubat derita mereka. Aku pasti tiada ego di hati mereka untuk memohon maaf padamu. Kerna kau permata yang dikasihi.

“Dijaga dengan cukup sempurna. Terlalu jauh jika ingin dibandingkan derita kehidupan ‘broken child’ yang sebenar. Anak-anak sepertimu masih beruntung berbanding anak-anak seperti kami. Maka bergembiralah wahai anak kecil.

“Jangan kau bersedih dengan pandangan manusia lain. Kau berhak bahagia. Kita menderita kerana cinta. Maka belajarlah dari pengalaman insan yang benar-benar mengasihimu. Bukan dari musuh dalam selimut yang cuma ada di waktu kau punya segala-gala,” pintanya.

Mengakhiri puisi yang ditujukan khas untuk Fatima itu, Balqis turut mengucapkan terima kasih kepada Fattah dan Fazura kerana telah membesarkan anak tunggal mereka dengan baik.

Perkongsian dibuat Balqis yang cukup menyentuh hati itu bukan sahaja mengundang sebak daripada orang ramai malah turut mendapat perhatian ibu Fatima iaitu pelakon popular, Nur Fazura Sharifuddin.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati Fazura meninggalkan komen dengan mengucapkan terima kasih selain mendoakan agar Balqis terus tabah menghadapi ujian seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.

“MasyaAllah, TabarakAllah. Kata-kata cukup bijaksana dari seorang gadis yang masih muda namun sangat cerdas. Terima kasih adikku Balqis mendoakan yang baik-baik buat kami khususnya anakanda Fatima.

“Awak sememangnya satu sosok yang mengagumkan. Semoga Balqis terus kuat dan berjaya di dunia akhirat. Aminnn, Allahuma Aminnn.” Titip Fazura di ruangan komen hantaran itu.

Baca juga: “Ini bukan dunia saya” – KJ beri bayangan nak kembali kepada politik, belum tentukan masanya