Netizen sebak semua orang dalam pusat beli belah berdiri tegak masa lagu Negaraku dimainkan

Oleh KIM SYAZIE

Umum tahu 31 Ogos ini rakyat Malaysia akan menyambut detik bersejarah kemerdekaan negara yang ke-67.

Justeru, satu rakaman menyaksikan pengunjung di sebuah pusat beli belah di ibu kota berdiri tegak ketika lagu Negaraku dimainkan, membuatkan ramai sebak.

Menerusi perkongsian di TikTok IOI City mall, rakaman itu menunjukkan reaksi pengunjung pusat beli belah berkenaan tatkala lagu Negaraku tiba-tiba dimainkan.

Walaupun pada awalnya mereka kelihatan terkejut dan kehairanan, namun sudah menjadi amalan dalam diri rakyat Malaysia untuk berdiri saat lagu Negaraku dimainkan.

Dalam video itu, kesemua pengunjung dilihat berdiri tegak tidak kira orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Mereka juga sama-sama menyanyikan lagu kebanggaan Malaysia, sehingga mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna yang menonton.

Situasi itu secara tak langsung menambah rasa semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seperti yang dijangka, ramai berasa bangga dengan sikap rakyat Malaysia yang menghormati lagu kebangsaan.

Malah, aksi spontan beberapa kanak-kanak yang berhenti bermain dan berdiri tegak saat lagu dimainkan turut menambah rasa bangga ramai.

“You are literally obligated to stand up and sing Negaraku when the song plays. Ada dalam perlembagaan,” komen pengguna TikTok.

“Siapa yang tak berdiri, automatik malu sebab kita dah dididik dengar je lagu Negaraku, automatik bangun,” komen yang lain.

“Sebak bila lagu Negaraku dimainkan. Rasa satu kebanggaan untuk rakyat Malaysia,” komen individu lain pula.

Video itu setakat ini mendapat hampir 900 ribu tontonan dengan lebih 125 ribu tanda suka.

Baca juga: Rupanya senang nak bezakan buah jambu batu masak atau tidak, ada 3 cara yang wajib anda tahu!