Malaysia Dateline

Netizen ‘sekolahkan’ Hadi selepas anggap PH tidak mampu tunai manifesto

Hanya dalam tempoh tiga jam, ruangan komentar di Facebook rasmi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibanjiri cemuhan dan sindiran.

Reaksi warganet itu selepas Hadi menyelar Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bila-bila masa sahaja akan diadakan.

“Pakatan Harapan hanya indah khabar dari rupa dengan manifesto yang tidak mampu dikotakan,” katanya berserta poster yang dimuatnaik tengah hari tadi.

Susulan itu, orang ramai dilihat menempelak kenyataan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkenaan termasuk mengaitkan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang merampas mandat rakyat.

“Kerajaan hari ini tidak perlu fikir nak tunaikan manifesto sebab jadi kerajaan masuk ikut atap.

“Menteri dan duta makan gaji buta bertaraf Menteri ada banyak masa ke sana ke sini dengan rasa bangga tanpa rasa berdosa dan takut kepada balasan Allah,” sergah Saili Ismail.

Sementara itu, Hanafi Zakaria pula berpendapat pengundi sedang memerhati kerajaan PN pada masa ini khususnya Pas yang ketika pembangkang lantang menyuarakan pelbagai isu termasuk kempen Buy Muslim First (BMF), anggota bomba Allahyarham Adib, pemandu mabuk, kilang arak, judi dan cukai.

“Sekarang apabila dah jadi sebahagian kerajaan, senyap pula. Semua isu hilang macam tidak pernah disebut pula. Jangan berasa selesa sangat dengan apa yang ada sekarang,” katanya.

Untuk rekod, Pas pada masa ini menyumbang 18 kerusi Dewan Rakyat dalam kerajaan PN yang sedang menyaksikan pertelagahan Umno-Bersatu.

Banyak kejayaan

Dalam masa sama, tidak kurang warganet yang meninggalkan komentar bernada sindiran sekali gus mengundang tanda ‘suka’ kalangan pembaca lain.

“Alhamdulillah, kerajaan sekarang banyak kejayaan. Contoh, kes Adib sudah selesai, nombor ekor jadi 22 kali setahun. Pejuang RUU355 sudah jadi menteri.

“Banyak lagilah. Malas nak cakap. Takdir!” sinis Hafez Ya Shak.

Reaksi sama juga dilontarkan Faizul Ezmin apabila secara berseloroh menyeru netizen agar tidak terus mengecam Pas yang dilihat berada dalam dua ‘kolam’ politik iaitu bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) itu.

“Tolonglah berhenti kritik Pas. Pas tidak salah. Pas bukan kerajaan. Pas kena menang 122 kerusi dulu baru boleh laksanakan manifesto.

“Sekarang Pas hanya 18 kerusi (Parlimen) saja. Pas tak salah, yang salah koranglah sebab tak undi Pas!” katanya diikuti tanda pagar #donebackup.

Kembali kepada nada serius, ramai mengingatkan Pas agar bersikap adil terhadap PH lantaran tidak sampai cukup penggal pun blok tersebut berkuasa di Putrajaya.

“Salah tu Tok Guru (Abdul Hadi). Belum habis penggal lima tahun. Tok Guru tidak boleh pukul rata janji manifesto PH tidak berjaya ditunaikan.

“Kita kena jujur, ya. Salam hormat pada Tok Guru,” luah Saiffudin Safiee pula.

Selain itu, terdapat juga yang mempersoal sejauhmana janji-janji PRU14 oleh Pas di dua negeri pantai timur Semenanjung yang dikuasai parti tersebut sudah terlaksana.

“Jangan terlalu sibuk dengan manisfesto orang lain (PH) yang hanya sempat memerintah 22 bulan. Bagaimana dengan manifesto Pas di Kelantan dan Terengganu? Sudah buatkah?” bidas Suleyman Shah.