Rumah diubah suai seakan-akan kuil

Oleh KIM SYAZIE

Tular di media sosial sejak beberapa hari lalu apabila sebuah rumah teres yang sedang dalam proses pengubahsuaian mendapat notis tutup (sealed) oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Rumah yang diubah suai seakan-akan kuil yang terletak di kawasan Taman Surian, Mantin itu didakwa menimbulkan ketidakselesaan penduduk sekitar.

Gambar ihsan pengguna Facebook

Aduan terhadap pemilik rumah yang melakukan pengubahsuaian juga telah dilaporkan oleh penduduk di kawasan perumahan tersebut.

Dilaporkan, aduan dibuat kerana pembinaan dan pengubahsuaian kediaman tersebut menyebabkan rumah jiran-jiran menerima kesan seperti retakan.

Mereka juga dilaporkan bimbang dengan keselamatan keluarga mereka jika pembinaan yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diteruskan.

“Viral rumah ‘renovate’ tak ikut spesifikasi yang dibenarkan. Tuan rumah masih teruskan sehingga hampir siap.

“Peh memang lain macam ubah suai kat Malaysia ni. Sebelum ini flat, sekarang rumah teres dua tingkat,” tulis pengguna Facebook yang berkongsikan gambar berkenaan.

Jiran di kawasan perumahan tersebut mendakwa, walaupun beberapa kali aduan telah dibuat namun tiada tindakan tegas diambil oleh pihak PBT melainkan notis memberhentikan kerja pengubahsuaian dikeluarkan kepada pemilik rumah berkenaan.

Meninjau ke ruangan komen di Facebook, beberapa pengguna turut berkongsikan kisah serupa yang mereka alami, selain ada juga yang terkejut dengan hasil kediaman yang sedang diubah suai itu.

Baca juga: Individu lakar sosok 6 penyihir mohon maaf pada Ustaz Kazim

Baca juga: Thailand benarkan tanam ganja, kini bukan lagi tergolong dalam senarai dadah