Netizen terhibur tengok Tunku Azizah cari stok tupperware, siap selak meja peniaga!

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman di platform TikTok yang memaparkan sisi bersahaja Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Majlis Keraian Rakyat Pahang sempena meraikan Istiadat Perkahwinan Diraja.

Dalam rakaman tersebut, Tunku Azizah yang mencemar duli berkunjung ke sebuah reruai milik peniaga bekas plastik itu dilihat begitu bersahaja ketika memborong beberapa produk keluaran jenama Tupperware tersebut.

Difahamkan, baginda mulanya tertarik apabila melihat pemilik video yang dikenali sebagai Nor Qaseh Azrul itu memegang beberapa bekas jenama Tupperware sebelum melontarkan soalan, ‘kata Tupperware sudah tutup?’ kepada peniaga berkenaan.

Qaseh kemudian menjelaskan bahawa bekas tersebut masih lagi dijual di reruai miliknya sebelum mengiringi baginda untuk berkunjung ke gerai tersebut bagi melihat sendiri bekalan produk Tupperware yang masih ada.

Rakaman itu dikongsikan Qaseh menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun TikTok miliknya yang kini sudah meraih tontonan daripada 1.4 juta pengguna platform media sosial tersebut.

@norqasehazrul

Rupanya Tuanku Ampuan Azizah juga sangat sukakan Tupperware! Tiba-tiba, booth kami menjadi tumpuan ramai semalam apabila Tuanku sudi mencemar duli bershopping sakan di booth kami. Berdebor, ketor, bagaikan hilang kata-kata. Risau tersalah cakap, atau terlanggar adab dan sebagainya. Maklumlah kali pertama dapat pengalaman yang amat mengujakan ni. Memang Tuanku sangat sporting. Sangat berjiwa rakyat. Peramah dan paling saya kagum, sikap penyayangnya pada semua. Alhamdulillah. Semoga Tuanku kesayangan ramai ini, sentiasa dalam lindungan rahmat Allah. Aamiin.. #fyp #fypシ #tunkuampuanazizah #tuankupermaisuripahang #majliskeraianrakyatpahang #highlight #follower #doorgift #hamper #tupperwaretemerloh #tupperwarekuantan #tupperwarepahang #komunititupperware

♬ original sound – Nor Qaseh Azrul – Nor Qaseh Azrul

“Rupanya Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah juga sangat sukakan Tupperware! Tiba-tiba, reruai kami menjadi tumpuan ramai semalam apabila Tuanku sudi mencemar duli berbelanja sakan di gerai ini.

“Berdebar dan menggigil bagaikan hilang kata-kata. Risau tersalah cakap atau terlanggar adab dan sebagainya. Maklumlah, kali pertama dapat pengalaman yang amat mengujakan ini. Memang Tuanku sangat bersahaja.

“Sangat berjiwa rakyat. Peramah dan paling saya kagum, sikap penyayangnya pada semua. Alhamdulillah. Semoga Tuanku kesayangan ramai ini, sentiasa dalam lindungan rahmat Allah. Aamin,” kata Qaseh dalam hantaran itu.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit 20 saat itu, turut kedengaran Tunku Azizah mengatakan betapa baginda menyukai jenama itu dan berkongsi rasa sedih apabila mendengar syarikat pengeluar bekas plastik tersebut bakal ditutup.

Baginda juga tampak memilih pelbagai produk termasuk botol air dan juga bekas makanan untuk dibeli malah rela menjenguk ke bawah meja peniaga bagi memeriksa sekiranya masih ada stok yang masih tersisa.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terhibur melihat baginda mencari stok Tupperware selain mengakui populariti bekas plastik berkenaan sememangnya melangkaui ‘kasta.

“Pelanggan Tupperware ini tidak mengira kasta. Kalau sudah mak-mak itu, mesti melekat dekat bekas plastik ini. Anak-anak pula risau sebab bekas yang hilang hari itu tak dapat nak beli baru lagi,” kata seorang pengguna.

“Mak saya dahulu banyak gila Tupperware. Saya masuk ke universiti masa umur 18 tahun dan bawa banyak bekas itu. Selepas itu hilang semuanya. Sekarang saya usia 37 tahun, mak masih sebut bekasnya yang hilang itu.” Seloroh pengguna lain.

Baca juga: Anggap rezeki sebagai satu tanggungjawab, Fattah Amin tak tamak, mahu puaskan hati semua pihak