Baru-baru ini tular sekeping gambar memaparkan resit daripada sebuah restoran popular di ibu kota berhubung satu caj khusus dikenakan premis itu kepada pelanggan.
Difahamkan, restoran nasi lemak di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu mengenakan caj RM1 kepada pelanggan yang mahu menikmati hidangan di kawasan berpenghawa dingin.
Tindakan itu telah menimbulkan rasa kurang senang dari segelintir masyarakat selain menyifatkan caj tambahan dikenakan oleh restoran tersebut sebagai sesuatu yang membebankan pelanggan.
Difahamkan, gambar resit tersebut mula tular di media sosial selepas dimuat naik menerusi satu hantaran di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) melalui akaun @MALAYSIAVIRALLL.
“Berhentilah bawa budaya yang semua benda nak caj ini. Sampai penghawa dingin pun nak kenakan caj. Biarlah negara lain sahaja yang amalkan benda-benda macam ini,” kesal pemilik akaun dalam hantaran itu.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terkejut apabila mendapat tahu bahawa terdapat restoran mengenakan bayaran tambahan di kawasan berpenghawa dingin.
Ramai juga pengguna mengakui sudah banyak restoran di negara ini terutama di kawasan tumpuan pelancong atau restoran yang memiliki jumlah pengunjung ramai mengenakan caj sama.
Segelintir pengguna juga berpendapat bahawa amalan itu tidak salah sekiranya pelanggan diberi pilihan untuk makan di kawasan yang tiada penghawa dingin tanpa dikenakan bayaran.
“Astaghfirullah al-Azim. Guna penghawa dingin pun nak caj? Entah apa-apa. Aku tengok banyak sahaja kedai makan popular pakai kipas. Masih ramai juga pelanggan yang datang,” kata seorang pengguna.
“Bukan sudah lama ke kedai-kedai makan buat macam ini? Kalau tak nak bayar, makan sahaja dekat luar. Biasa kedai macam ini sediakan dua tempat. Bukannya mereka paksa pelanggan duduk bilik berbayar.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Netizen ‘curious’ kalau masuk penjara Thailand dapat makanan halal ke?