Usahawan kontroversi, Kak KM kembali mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan resit perbelanjaannya ketika berkunjung ke sebuah restoran di ibu kota, baru-baru ini.
Mana tidaknya, resit makanan yang dikongsikan menerusi satu hantaran video di akaun media sosial TikTok miliknya itu berjumlah belasan ribu ringgit untuk sekali makan sahaja.
Dalam rakaman berdurasi 53 minit tersebut, pemilik nama sebenar Liana Rosli itu sempat berpesan kepada seluruh ahli keluarganya bagi memastikan hidangan yang mereka nikmati berbaloi.
“Kamu semua pastikan RM17,000 yang dibelanjakan ini berbaloi ya. Biar berbaloi, makan banyak-banyak. Tolong jangan membazir. Seminggu jangan buang air besar, ya,” katanya dalam nada berseloroh.
Difahamkan, hidangan yang mereka nikmati itu bernilai RM17,764.25 namun Kak KM dipercayai menerima diskaun sebanyak RM5,000 menjadikan jumlah sebenar perlu dibayar adalah RM12,764.25.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian dimuat naik oleh Kak KM itu telah meraih hampir setengah juta tontonan dan 9,646 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna terkejut melihat perbelanjaan makanan Kak KM dan mempersoalkan restoran manakah yang menghidangkan santapan mencecah belasan ribu ringgit itu.
Namun apa yang paling menjadi sorotan ramai pengguna TikTok adalah caj perkhidmatan dikenakan oleh restoran tersebut kerana disifatkan hampir setara dengan sebulan gaji iaitu RM1,531.40.
“Amik kau. Caj perkhidmatan sahaja setara dengan gaji sebulan,” kata seorang pengguna terkejut melihat jumlah bayaran dikenakan dalam resit tersebut.
“Saya kalau tengok caj perkhidmatan RM3 pun sudah bising.” Kongsi pengguna lain.
Beberapa individu bagaimanapun berdoa supaya mereka turut dikurniakan rezeki yang murah agar dapat menikmati hidangan mahal seperti disantap oleh Kak KM suatu hari nanti.
Sekadar info, caj perkhidmatan ini bukanlah dikenakan atau dibayar kepada kerajaan sebaliknya ditentukan oleh pengusaha restoran bergantung kepada servis yang disediakan buat pelanggan mereka.
Baca juga: Qistina Raisah bersyukur baru umur 16 tahun dah beli kereta Toyota Yaris guna duit sendiri