New South Wales isytihar darurat kebakaran hutan di wilayah Hunter

New South Wales isytihar darurat kebakaran hutan di wilayah Hunter

Pihak berkuasa pada Jumaat telah mengisytiharkan darurat kebakaran hutan di wilayah Hunter dalam negeri New South Wales, Australia dan api yang semakin marak serta mula merebak kini mengancam lebih banyak kediaman manakala angin kencang menjejaskan usaha untuk memadamkannya.

Kebakaran itu berlaku di sekurang-kurangnya tiga kawasan utama di utara ibu negeri Sydney dan memusnahkan kira-kira 1,380 hektar, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan perkhidmatan bomba luar bandar negeri itu.

“Kebakaran itu dilihat berlaku di beberapa kawasan semasa angin kencang, yang dijangka berterusan di kawasan terbabit dan ini akan menjejaskan usaha memadam kebakaran,” menurut kenyataan itu.

Lebih 200 anggota bomba kini bertungkus-lumus memadamkan api dengan penggunaan pesawat, lapor media tempatan.

“Api marak dengan agresif dan merebak begitu pantas,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba, Shane Fitzsimmons, kepada saluran berita ABC.

— BERNAMA