Malaysia Dateline

New York sudah mati, kali ini sampai bila-bila

Bekas kolumnis MarketWatch, James Altucher berpendapat New York City akan “mati selama-lamanya” kerana penduduknya mula memahami realiti pandemik Covid-19.

“Saya suka NYC (New York City). Ketika pertama kali berpindah ke NYC, itu adalah impian yang menjadi kenyataan.

“Setiap sudut seperti produksi teater yang berlaku tepat di hadapan saya. Begitu banyak cerita, ” tulisnya dalam catatan blog yang dipetik portal, MarketWatch.

The New York Times pada Jun lalu juga mengajukan soalan “menyakitkan”: “Adakah New York City bernilai lagi?” ketika Covid-19 sedang mengganas.

Pada Julai lalu, terdapat sejumlah 13,117 pangsapuri kosong di seluruh Manhattan, menurut laporan oleh Douglas Elliman dan Miller Samuel Real Estate berbanding 5,912 unit tahun lalu.

“Penyewa baru juga turun sekitar 23 peratus, yang mengakibatkan penurunan harga sewa,” katanya.

Selain New York, bandar utama kedua paling padat di Amerika Syarikat (AS), San Francisco turut terjejas teruk akibat Covid-19.

Menurut Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan di AS, pada Februari kemelesetan mula melanda menandakan berakhirnya pengembangan ekonomi AS yang bermula sejak Jun 2009.

Mac lalu, seramai 22 juta orang kehilangan pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) disebabkan pandemik Covid-19.

Bank Dunia pada 8 Jun lalu memberitahu ekonomi dunia diramal menyusut 5.2 peratus tahun ini, kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia II.

Ekonomi AS pula dijangka menurun 6.1 peratus pada 2020, di bawah 7.9 mata peratusan berbanding ramalan sebelum ini, tambah laporan itu.

Dunia menghadapi kemerosotan ekonomi lebih teruk daripada yang diramalkan sebelumnya dengan perniagaan masih sukar mengharungi ancaman Covid-19.