Malaysia Dateline

New Zealand sedih, mohon maaf kepada Malaysia susulan serangan di Christchurch

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan kerajaan Malaysia yang sama-sama berkabung dalam perhimpunan di Dataran Merdeka hari ini.

Dalam ucapannya di pentas utama itu, Nottage meluahkan, Jumaat lalu New Zealand telah berhadapan dengan tempoh mengerikan akibat serangan rambang daripada pengganas yang tidak berhati perut.

“Saya sangat bersimpati atas apa yang sudah berlaku… Saya juga ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terlibat pada minggu lalu.

“Seluruh New Zealand juga berasa sedih di atas tragedi berdarah itu. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang berada di sini (Dataran Merdeka) untuk sama-sama dalam solidariti keamanan.

“Saya mewakili pihak Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden dan seluruh rakyat New Zealand mengucapkan takziah dan memohon maaf berikutan tembakan rambang itu,” katanya.

Sementara itu, dalam himpunan solidariti berkenaan, peserta dilihat melaungkan slogan ‘Hancur-hancur kezaliman!, ‘Hancur-hancur keganasan!, ‘Hidup-hidup keamanan!, ‘Hidup-hidup kedamaian! bagi menyampaikan mesej solidariti mereka menentang keganasan.

Sebuah keluarga dari Asia Barat turut hadir menyatakan solidariti kedamaian pada acara himpunan yang dianjurkan kerajaan Malaysia di Dataran Merdeka hari ini