‘Next level’ punya penipu! Scammer buka bank, individu disuruh bayar hampir RM30k untuk dapat kerja

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang penipu dah tak gunakan kaedah konon ada waran tangkap atau akaun ada mempunyai masalah dan perlu buat pembayaran untuk baiki ia.

Semakin lama penipu atau ‘scammer’ ini semakin kreatif untuk mendapatkan duit pantas dan terbaru adalah dengan membuka bank.

Bayangkan jika ada individu yang mahukan pekerjaan dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, mereka akan buat apa sahaja untuknya.

Penduduk Chhapora, negeri Chhattisgarh pada mulanya teruja apabila bank terbesar India, State Bank of India (SBI) buka cawangan batu di kawasan mereka.

Namun segala keterujaan itu lesap selepa mengetahui bank tersebut dibuka oleh dan dikendalikan oleh penipu atau ‘scammer’.

Menurut Oddity Central, kebanyakan individu yang mengalami masalah kewangan berebut-rebut untuk bekerja di situ.

Pintu Dhruve memaklumkan dia adalah salah seorang daripada enam mangsa yang mendapat pekerjaan sebagai juruwang di cawangan tersebut.

“Saya sangat memerlukan pekerjaan. Saya diminta membayar 580,000 rupee (RM29,800) untuk bekerja di sana.

“Saya segera membuat pembayaran dengan meminjam wang daripada beberapa rakan,” kata Pintu.

Melihat kepada logo SBI di pintu masuk, ruang kerja berukuran 93 meter persegi, perabot serta kaunter baharu membuatkan dia yakin bahawa bank itu adalah sah.

“Selama 10 hari berturut-turut, saya dan lima rakan lain datang bekerja hanya untuk ‘melihat masa berlalu’.

“Pengurus cawangan biasanya masuk sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) dan pulang pada tengah hari.

“Namun suatu hari, dia tidak datang bekerja dan kami tidak menerima sebarang maklumat.

“Pada suatu hari, polis datang bersama kakitangan sebenar SBI dan memberitahu bahawa tempat kerja kami adalah palsu,” tambah Pintu.

Seorang jurucakap polis, Rajesh Patel berkata, siasatan mendapati bahawa cawangan itu adalah palsu, manakala pekerja dilantik menggunakan dokumen palsu.

“Mereka yang membayar untuk mendapatkan pekerjaan di sana kerugian sebanyak 1.2 juta rupee (RM62,000) secara keseluruhan,” jelasnya.

Baca juga: Ini punca media di India dakwa Bukit bintang antara lokasi pelancongan paling ‘overrated’ di Asia