NFCP perlukan pelaburan RM21.6 bilion dari 2019-2023, kata Menteri Kewangan

NFCP perlukan pelaburan RM21.6 bilion dari 2019-2023, kata Menteri Kewangan

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memerlukan pelaburan berjumlah RM21.6 bilion dari 2019 hingga 2023, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata sebahagian besar pelaburan akan dibiayai oleh Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta sektor swasta.

“Pelan ini akan menambah baik lagi kelajuan Internet di Malaysia, dan menjadikan ekonomi kita bersedia bagi pelaksanaan 5G,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada Mesyuarat Kumpulan Fokus: Melaksanakan Ekonomi Digital 2019, yang diadakan pada Jumaat.

Lim berkata ketika ini kerajaan sedang menganjurkan beberapa siri perbincangan kumpulan fokus bagi mendapatkan pandangan dan cadangan untuk Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober 2019.

“Hari ini merupakan yang pertama kali dalam kumpulan fokus di mana kami akan membincangkan mengenai ekonomi digital dan cara-cara bagaimana kerajaan boleh memangkinkan pertumbuhan ekonomi digital bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memenuhi agenda ‘Kemakmuran Bersama’ yang didukung oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Lim berkata bagi menyokong pendigitalan ekonomi dan pelaksanaan meluas teknologi Industri 4.0 dalam masyarakat, kerajaan juga menyediakan prasarana digital yang perlu dengan memperuntukkan RM4.2 bilion bagi menyediakan kesalinghubungan gentian optik berkelajuan tinggi kepada sekolah dan zon perindustrian terpilih.

“Ini merupakan sebahagian daripada NFCP yang bertujuan untuk menambah baik kualiti dan liputan jalur lebar, mengurangkan harga jalur lebar dan meningkatkan penembusan Internet berkualiti tinggi di seluruh negara.

“Bagi mengembangkan lagi ekonomi digital, saya, bersama-sama dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, akan membentuk satu jawatankuasa bersama peringkat kementerian untuk menangani masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam pendigitalan di peringkat tertinggi,” katanya.

Lim berkata ini akan membolehkan kerajaan mempercepatkan permohonan bagi pelaburan dan dalam masa yang sama menyelesaikan dengan pantas sebarang isu yang dibangkitkan oleh sektor swasta.

“Ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan pendigitalan ekonomi Malaysia,” katanya. — BERNAMA