Malaysia Dateline

Nga harus belajar daripada bosnya Mahathir, bidas Arul

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pemimpin DAP, Nga Kor Ming agar mencontohi Perdana Menteri berhubung tindakan sebuah sekolah Cina di Taiping menamakan blok pentadbiran sempena namanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berpendapat, Nga boleh bersikap rendah hati dengan meminta pihak lembaga pengelola SJK(C) Sin Min itu tidak berbuat demikian.

“Mungkin dia harus belajar sesuatu daripada bosnya Mahathir mengenai perkara ini,” katanya.

“Mahathir juga berkata beliau melarang sekolah dinamakan dengan namanya kerana tidak mahu mencipta kultus personaliti seputar dirinya,” bidasnya.

Kelmarin, Nga yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilapor berkata, isu penamaan blok baru sekolah itu sempena namanya tidak sepatutnya dipolitikkan.

Jelas Adun Aulong itu, beliau tidak boleh menghalang hasrat sekolah itu untuk berbuat demikian dan menyifatkan budaya orang Malaysia berbudi bahasa selepas beliau berusaha mendapatkan sijil layak menduduki (CCC) dan dana untuk kelengkapan sekolah itu.

Mengulas lanjut, Arul berkata, Nga sepatutnya menghentikan amalan itu dan bukannya mendakwa ia bermula ketika pentadbiran BN.

“Sebagai Timbalan Yang Dipertua (Dewan Rakyat), beliau sepatutnya menunjukkan contoh dan menolak atau mengarahkan sekolah agar tidak berbuat demikian,” kata Arul lagi.