Nga Kor Ming tinggalkan Taiping, cabar Presiden Gerakan di Teluk Intan

Nga Kor Ming tinggalkan Taiping, cabar Presiden Gerakan di Teluk Intan

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bakal mencabar penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pencalonan penyandang Parlimen Taiping itu mewakili Pakatan Harapan (PH) diumum Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Ceramah Jelajah PH malam tadi.

Guan Eng berkata, PH mesti turut memenangi kawasan Parlimen yang disandang oleh menteri untuk menguasai Putrajaya.

“MP Teluk Intan ialah menteri di jabatan perdana menteri. Jadi, kalau kita nak kalahkan dia, kita mesti hantar pemimpin besar yang berwibawa.

“Kita mesti hantar seorang calon yang bila kita menang di Putrajaya parti DAP akan lantik dia juga sebagai menteri,” kata Guan Eng.

Untuk rekod, Siew Keong yang merupakan Presiden Gerakan adalah bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Walaupun BN belum mengumumkan secara rasmi calonnya tetapi banyak pihak menganggap Siew Keong bakal kekal bertanding di P.076 Teluk Intan.

Lebih 10,000 hadir ceramah Jelajah PH di Teluk Intan.

Sementara itu, Nga di hadapan lebih 10,000 hadirin berkata, rakyat akhirnya menjadi penentu dengan kuasa undi yang dimiliki pada 9 Mei nanti.

Hal ini memandangkan, beliau yang hanya anak seorang guru sekolah rendah dan cucu seorang penoreh getah akan menentang seorang bergelar “Datuk” serta “orang paling kaya di Teluk Intan.”

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014, Siew Keong menang dengan hanya meraih majoriti 238 undi apabila mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Pada PRU13, DAP melalui calonnya, Seah Leong Peng menang dengan majoriti 7,313 undi menewaskan Siew Keong.

Parlimen Teluk Intan juga bukan asing dengan Siew Keong apabila menang di kerusi selatan Perak itu pada PRU 1999 dan 2004 dengan majoriti 2,783 dan 10,041 undi masing-masing.

Laporan Kajian Semula Persempadanan Kawasan Pilihan Raya yang dikeluarkan SPR menunjukkan P.076 Teluk Intan mempunyai sejumlah 61,004 pemilih berdaftar.

Parlimen itu merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu N.55 Pasir Bedamar dan N.56 Changkat Jong dengan 29,935 dan 31,069 pengundi masing-masing.