Malaysia Dateline

Nga Kor Ming kekal Pengerusi DAP Perak

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengekalkan jawatan pada pemilihan Jawatankuasa DAP Perak 2021.

Turut mengekalkan jawatan dalam pemilihan di Ipoh hari ini ialah Timbalan Pengerusi DAP negeri, V Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah.

Kedudukan Kor Ming dan Sivakumar diputuskan oleh 15 ahli jawatankuasa (AJK) yang baharu dipilih pada pemilihan tersebut.

Pada pemilihan itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dan Sivakumar masing-masing memperoleh 1,228 undi.

Turut mengekalkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari. Ketua Pembangkang Perak itu mendapat 1,224 undi.

Seorang lagi ADUN Sungkai, A Sivanesan dengan 1,223 undi. Abdul Aziz dan A Sivanesan berjawatan Naib Pengerusi.

Ahli jawatankuasa (AJK) juga sebulat suara memilih Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh untuk mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha DAP Perak, manakala Penolong Setiausahanya, Ong Boon Piow.

Jawatan Bendahari pula dipegang oleh Howard Lee Chuan How dan Penolong Bendahari, Dr Ko Chung Sen.

AJK yang dipilih pula ialah Wong May Ing, Cheah Pou Hian, manakala bagi AJK Lantikan pula adalah Woo Kar Leong, Ong Seng Guan, Teoh Yee Cherng, Nga Hock Cheh dan Jenny Choy Tsi Jen.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berucap menyempurnakan Konvensyen Biasa DAP negeri Perak di Ipoh.

Konvensyen itu dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP seluruh negeri.

Antara urusan rasmi pada konvensyen itu ialah memilih 15 Ahli Jawatankuasa Negeri, pembentangan dan penerimaan akaun penyata kewangan, selain penerimaan usul-usul atau pengisytiharan dikemukakan jawatankuasa negeri.