Nga Kor Ming maafkan peserta demontrasi

Nga Kor Ming maafkan peserta demontrasi

Ahli Parlimen DAP Taiping Nga Kor Ming berkata, beliau memaafkan peserta protes dari Pemuda Umno dan Gerakan Merah yang menyertai demonstrasi terhadapnya di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, semalam.

Mereka menuduh Nga tidak menghormati Islam dalam dua posting Facebook pada Hari Raya Aidilfitri, tetapi Nga berkata posting itu dibuat oleh satu fanpage tanpa izin.

“Pada bulan Syawal ini, saya akan memaafkan mereka atas semangat Hari Raya Aidilfitri bagi kelakuan biadap mereka. Tetapi rakyat harus ingat Umno tidak lagi relevan untuk menerajui negara ini.

“Mereka ketinggalan zaman dan muflis dari segi moral. Malaysia layak menikmati masa depan yang lebih baik,” kata Nga seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Kedua-dua posting itu ialah ucapan Hari Raya menggunakan bendera Amerika, dan satu lagi, kartun yang menggambarkan kanak-kanak tidak meminta ‘duit raya’ tetapi meminta ‘derma’ atau ‘dedak’.

Dedak, perkataan Melayu untuk makanan haiwan, biasanya digunakan di kalangan politik untuk merujuk kepada pemberian bagi mendapatkan sokongan penyokong dan sekutu.

Peserta protes semalam juga melontar duit neraka itu di hadapan ibu pejabat DAP, untuk “kematian” DAP.

Duit neraka adalah menyerupai wang dan mengikut adat Cina ia dibakar sebagai persembahan kepada nenek moyang si mati.

Nga berkata, penggunaan duit neraka dan “keganasan terhadap polis”, yang mengawal peserta protes itu daripada memasuki ibu pejabat DAP, memberi gambaran kurang baik terhadap Pemuda Umno.

“Saya percaya orang ramai akan menghakimi dan mengutuk kelakuan mereka yang tidak munasabah itu,” katanya.

Nga berkata demonstrasi itu adalah “haram” kerana polis tidak dimaklumkan 10 hari sebelumnya, mengikut Akta Perhimpunan Aman.

“Ia hanya membuktikan sikap dwi-standard Umno,” katanya,

TAGS