Nga Kor Ming nafi siar kartun hina Aidilfitri, fitnah ‘tentera siber’

Nga Kor Ming nafi siar kartun hina Aidilfitri, fitnah ‘tentera siber’

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menafikan memuat naik atau melukis kartun yang didakwa menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menafikan memuat naik atau melukis kartun yang didakwa menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam satu kenyataan media semalam, Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, beliau menjadi mangsa ‘tentera siber’ yang diupah pihak tertentu yang berkepentingan untuk memburukkan DAP.

Nga merujuk kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam bahawa polis mahu menyiasat beliau di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 atas dakwaan menyiarkan kartun di laman facebook yang menghina sambutan Aidilfitri yang disambut umat Islam.

“Saya menghormati Islam sebagai agama persekutuan dan sebagai ahli parlimen berazam mempertahankan prinsip yang terkandung dalam perlembagaan persekutuan.

“Polis sepatutnya menggunakan masa yang berharga untuk memerangi jenayah daripada mengalihkan perhatian mereka untuk mengganggu wakil rakyat.

“Bagaimanapun saya bersedia untuk membantu polis dalam siasatan mereka jika diperlukan,” tegas Nga.

Beliau juga berharap kenyataan media itu dapat menjelaskan apa yang berlaku dan menamatkan isu tersebut.

Lakaran kartun yang didakwa disiarkan Nga di laman facebook mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya para pemimpin Umno dan kumpulan pendesak Melayu.

Beberapa laporan polis telah dibuat berhubung lakaran kartun yang menyamakan pemberian ‘duit raya’ sebagai ‘dedak’ dan ‘rasuah’.  

TAGS