Malaysia Dateline

Nga Kor Ming selesai beri keterangan polis

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, di sini berhubung status menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik dalam akaun media sosial yang dikaitkan dengannya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu yang tiba pada pukul 1.26 petang dilihat meninggalkan pekarangan ibu pejabat polis itu pada pukul 3 petang dengan menaiki kenderaan rasmi Proton Perdana.

Beliau turut ditemani Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Ngeh Khoo Ham; Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer; Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh; Anggota Parlimen Batu Gajah V. Sivakumar dan beberapa pemimpin DAP Perak.

“Satu laporan berserta bukti bagi membantu siasatan polis telah diserahkan sebentar tadi.

“Saya juga menggesa polis mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataan fitnah dikeluarkan terhadap saya di laman facebooknya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan menerima keterangan Anggota Parlimen Teluk Intan itu dan menurutnya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Sebelum ini, kenyataan menghina Sultan Selangor itu didakwa dilakukan melalui akaun Facebook, Nga Kor Ming Super Fans Page pada bulan lepas.– BERNAMA