Nga tidak perlu ‘bersilat’ betulkan kesalahan, kata Zambry

Nga tidak perlu ‘bersilat’ betulkan kesalahan, kata Zambry

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming tidak perlu ‘bersilat’ untuk mempertahankan diri setelah mempersendakan sambutan Aidilfitri di dalam laman sosial Facebooknya.

Zambry berkata sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam arena politik, Nga sewajarnya mempunyai sikap menghargai serta sensitif terhadap budaya lain.

“Dalam konteks ini, Nga tidak perlu nak bersilat pertahankan itu dan ini, betulkan itu ini atau menyalahkan orang lain.

“Beliau (Nga) sepatutnya melihat dalam diri beliau sendiri kenapa cetuskan perkara yang beliau sendiri tahu boleh cetuskan kemarahan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri  semalam.

Zambry diminta mengulas kenyataan Nga yang menafikan beliau memuat naik gambar karikatur menghina perayaan Aidilfitri di laman sosial Facebook.

Sebaliknya, Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping berkata ia merupakan fitnah jahat dan menegaskan agar perkara tersebut tidak dipanjangkan.

Pada 5 Julai lalu, Nga memuat naik dua status gambar yang menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan ‘dedak’ selain mengucapkan Selamat Hari Raya berlatar belakangkan bendera Amerika Syarikat dengan tangan berdoa berimejkan rumah api yang merupakan simbol agama Kristian.

Mengenai ucapan Selamat Hari Raya itu, Zambry berkata :”Karikatur itu beliau nafikan, bagaimana dengan yang pertama. Adakah itu palsu atau tidak?

Sehubungan itu, Zambry meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) agar menyiasat penafian yang dibuat oleh Nga.

Terdahulu, Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe berkata Nga harus bertanggungjawab terhadap tindakannya dan tidak menunding jari kepada pihak lain kerana artikel dan karikatur yang dimuat naik adalah di akaun Facebook miliknya.

“Kalau setiap pemilik Facebook tidak mengaku salah atas apa yang dimuat naik, maka akan berlaku huru-hara dan menimbulkan kebencian antara rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Aidilfitri Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tan berkata sebagai seorang ahli profesional dan wakil rakyat Nga tidak sepatutunya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris dan menyinggung perasaan sesuatu kaum di negara ini.

Selain itu, Tan berharap pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera ke atas Nga untuk mengelak sebarang ketegangan kaum di negara ini.

“Kita harap pihak polis dapat mengambil tindakan segera agar tidak membawa kemarahan dan berlakunya kejadian pada Selasa apabila ada sekumpulan (Pemuda Umno) yang pergi ke pejabat DAP dan sebagainya.

“Rakyat membuat demikian kerana mereka terguris dengan tindakan Nga itu dan memohon keadilan daripada pihak berkuasa,” katanya.

TAGS