Nga Kor Ming diberi tempoh hingga akhir Syawal untuk mohon maaf terbuka

Nga Kor Ming diberi tempoh hingga akhir Syawal untuk mohon maaf terbuka

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii memberi kata dua kepada Ahli Palimen Taiping Nga Kor Ming hingga akhir bulan Syawal untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini kerana kenyataannya yang kurang ajar, biadab, tidak bertanggungjawab dan berunsur provokasi.

Hari ini dianggarkan  200 penunjuk perasaan berhimpun di depan ibu pejabat DAP, untuk menyatakan protes terhadap wakil rakyat DAP  itu susulan kenyataannya yang didakwa biadab, dan berunsur provokasi dengan menyiarkan kartun menghina pemberian duit raya pada sambutan hari raya di laman Facebook beliau.

 “Apa yang Kor Ming buat menghasut semua datang ke sini berkumpul untuk merusuh,” katanya.

Susulan kekecohan itu, polis hanya membenarkan sekumpulan kecil pimpinan perhimpunan berkenaan masuk bertemu wakil DAP, Chu Yoon Ming bagi menyerahkan memorandum.

“Kami berjaya menyampaikan niat kami untuk menunjukkan kami terus bersatu dan membantah. Jangan main-main dengan kami,” katanya seperti dilapor FMT.

Penunjuk perasaan yang kebanyakannya berbaju merah berarak sejauh satu 1km dari Ibu Pejabat Umno Cheras sambil menyanyikan lagu ‘Inilah Barisan Kita’ dan membawa plakad tertera ‘penghina Islam harus dihukum’ dan ‘DAP rasis’.

Kekecohan berlaku apabila sebaik tiba di depan ibu pejabat DAP, kira-kira 30 anggota polis membuat sekatan dan tidak membenarkan mereka masuk.

Berlaku tolak menolak antara polis dan peserta perhimpunan itu, malah ada yang membakar mercun.

Demo yang diadakan hari ini diwakili oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan beberapa NGO.