Malaysia Dateline

NGO alam sekitar desak penubuhan Majlis Pakar Perhutanan Negeri

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia mendesak penubuhan Majlis Pakar Perhutanan Negeri untuk menasihati Pihak Berkuasa Negeri dalam dalam hal-hal berkaitan alam semula jadi itu.

Presiden PEKA, Puan Sri To’ Puan Datuk Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, penubuhan majlis itu penting bagi memastikan segala impak daripada keputusan berkaitan hal-hal perhutanan dapat dilihat secara menyeluruh.

“Fungsi Majlis ini secara amnya adalah untuk menasihatkan Pihak Berkuasa Negeri dan Pengarah mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan perhutanan.

“Suatu siasatan tempatan atau pendengaran awam juga akan diadakan oleh Majlis Pakar Perhutanan Negeri untuk mendengar bantahan terhadap keputusan oleh Pihak Berkuasa Negeri yang mana ini akan menyediakan ruang check & balance (semak dan imbang) terhadap kuasa Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.

Shariffa Sabrina Syed Akil

Memetik memorandum yang diserahkan di Parlimen hari ini, Pihak Berkuasa Negeri perlu mengambil kira syor-syor daripada Majlis Pakar Perhutanan Negeri tersebut, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara serta Jabatan Kemajuan Orang Asli sebelum  memansuhkan pewartaan tanah dalam hutan simpanan kekal.

“Pihak Berkuasa Negeri juga perlu membentangkan keputusan tersebut di hadapan Dewan Undangan Negeri sekiranya memutuskan untuk mengeluarkan kawasan tanah daripada hutan simpanan kekal,” tegasnya.

Selain beberapa wakil agensi awam daripada pelbagai bidang, PEKA mengesyorkan Majlis Pakar Perhutanan Negeri turut dianggotai pertubuhan yang terlibat dalam industri, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, kakitangan akademik institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam menggalakkan dan mempertingkatkan kualiti alam sekitar.

Masyarakat Orang Asli dari Gerik, Perak turut hadir perarakan ke Parlimen hari ini.

Mendesak

Dalam masa sama, Shariffa menyifatkan cadangan pindaan-pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) adalah suatu keperluan yang amat mendesak memandangkan pindaan terakhir hanya dilakukan pada 1993.

Jelasnya, peruntukan-peruntukan sedia ada sudah lapuk dan tidak dapat menangani perkembangan semasa dalam isu-isu kesalahan terhadap alam semulajadi.

“Khazanah alam semulajadi di negara ini semakin pupus dan kita sebagai insan yang diamanahkan oleh Tuhan yang Maha Esa sebagai penjaga alam ini bakal menerima padahnya sekiranya kita tidak mengambil inisiatif bagi melindungi pemberiannya.

“Ketamakan dan kerakusan tangan-tangan manusia perlulah dibanteras. Undang-undang perlulah menegakkan keadilan kepada alam semulajadi,” ujarnya.

Mengulas kes pembalakan haram, beliau berkata, aktitiviti itu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya sebagai satu jenayah yang serius.

Menurutnya, terdapat juga Pihak Berkuasa Negeri yang semakin giat mengeluarkan status tanah hutan simpanan kekal dan memberikan lesen pembalakan kepada syarikat-syarikat pembalakan di kawasan-kawasan hutan simpan dan juga di kawasan tanah adat Orang Asli.

Akibat tindakan itu, bukan sahaja hutan di negara ini pupus, jelasnya, malah menjejaskan punca kehidupan masyarakat Orang Asli yang merupakan penjaga hutan secara turun-temurun.

“Isu eksploitasi hutan sudah mencapai tahap kritikal di Malaysia dan dengan gangguan kepada bekalan air sudah menjadikannya satu perkara yang mengugat keselamatan awam (threat to National Security) di negara ini,” tambahnya lagi.

Lebih 200 peserta terdiri daripada aktivis dan masyarakat Orang Asli berarak ke bangunan Parlimen hari ini menuntut pindaan Akta Perhutanan 1984 (Akta 313) bagi membuka lebih ruang kepada demokrasi alam sekitar.

Aktivis dari NGO KUASA antara peserta demonstrasi yang menuntut hutan simpan kekal diselamatkan.