Malaysia Dateline

NGO alam sekitar persoal komitmen Selangor pertahan hutan simpan

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mempersoal kesungguhan kerajaan negeri Selangor dalam memelihara hutan simpan ekoran cadangan pemansuhan sebahagian Hutan Simpan Bukit Lagong di Rawang.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, bekas Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini berjanji untuk mempertahankan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

“Apa sudah jadi, Elizabeth Wong kata kerajaan negeri komited untuk mencapai sekurang-kurangnya 32 peratus daripada keluasan negeri dilitupi guna tanah HSK?” persoalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk Gombak supaya mengemukakan bantahan secara bertulis kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor supaya tidak memansuhkan sebahagian HSK itu.

Bahkan, tegasnya, masyarakat sekitar Sungai Buloh juga perlu membuat tindakan sama memandangkan sebahagian Hutan Simpan Sungai Buloh turut disyor untuk dimansuhkan.

“Bukan hanya cadangan pemansuhan sebahagian Hutan Simpan Bukit Lagong sahaja tetapi satu lagi Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Sungai Buloh juga disyor hendak dimansuhkan,” ujarnya.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam notisnya memberitahu cadangan pemansuhan Hutan Simpan Bukit Lagong di mukim Batu dan Rawang seluas 28.3 hektar (70 ekar) untuk tujuan projek perumahan.

“Mana-mana orang dalam daerah Gombak yang mempunyai kepentingan boleh mengemukakan bantahan terhadap cadangan tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyiaran notis ini,” dipetik dari notis itu.

Untuk rekod, Hutan Simpan Bukit Lagong yang mempunyai sungai dan air terjun terletak kurang 20 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Selain itu, sebahagian Hutan Simpan Sungai Buloh di daerah Petaling juga dicadangkan untuk dimansuhkan dalam notis bertarikh 9 November lalu.

Seluas 1.2418 hektar kawasan hutan simpan itu disyor untuk penyahwartaan bagi tujuan projek transit aliran ringan (LRT) Laluan 3, Bandar Utama ke Johan Setia.