NGO bimbang sidang khas Parlimen hari ini tidak penuhi hasrat YDPA

Oleh NASUHA RAHMAN

Kerajaan digesa menyegerakan sesi parlimen yang membolehkan ahli-ahli parlimen berbahas, bertepatan dengan kehendak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berpandangan, dalam krisis dan situasi semasa yang mendesak, kesegeraan persidangan parlimen yang membolehkan ahli parlimen berbahas adalah sesuatu yang kritikal dan tidak boleh lagi dilengahkan.

“Mesyuarat biasa Parlimen akan berlangsung pada bulan September dan Oktober ini dengan proses bertanya soalan dan usul yang boleh dibahas,” katanya.

Menurut aturan mesyuarat, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dijadualkan memberi taklimat mengenai Pelan Pemulihan Nasional, diikuti oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (mengenai pengurusan wabak Covid-19), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin (mengenai program vaksinasi), Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz (mengenai pakej rangsangan ekonomi), dan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Menteri Pertahanan (mengenai darurat).

Beliau berkata demikian kerana bimbang sidang berkenaan yang bermula hari ini dikhuatiri tidak dapat berperanan dalam melaksanakan amalan semak imbang dengan berkesan khususnya dalam menangani krisis kesihatan, ekonomi dan sosial yang sedang melanda negara.

“Akibatnya, pihak eksekutif boleh berbuat apa saja tanpa semak dan imbang yang diperlukan dalam amalan demokrasi.

“Bukan itu sahaja, sidang yang bakal dilaksanakan tidak akan dapat mencapai hasrat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah bertitah pada bulan Jun lepas agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sidang yang bakal membangkitkan isu berkenaan hal darurat, vaksinasi dan bantuan kepada rakyat akan berlangsung tanpa usul, perbahasan dan kelulusan oleh ahli parlimen.