Malaysia Dateline

NGO Bintulu bantu golongan terjejas PKP

Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Extrameal Bintulu prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) akibat Covid-19 dengan menyumbangkan keperluan asas serta makanan kepada golongan yang memerlukan.

Pengasasnya, Francis Ngu Hown Hua memberitahu, sumbangan itu berupa beras, telur, minyak masak, kopi, air minuman, barang dapur dan banyak lagi untuk diagihkan kepada penduduk kampung di sekitar Bintulu.

Katanya, setakat ini beberapa buah kampung telah dibantu antaranya ialah Kampung Assyakirin, Jabai, dan Jepak serta beberapa kampung setinggan di sekitar Bintulu yang terdiri daripada golongan miskin asnaf.

“Kami juga telah menerima beberapa pesanan ringkas (SMS) daripada peniaga yang ingin turut serta menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Francis turut memaklumkan agar penduduk yang berada di sekitar Bintulu khususnya golongan yang benar-benar memerlukan, berjumpa dengan beliau bagi mendapatkan bantuan tersebut.

“Kepada sesiapa yang ingin mendapat bantuan khususnya kepada golongan kurang berupaya, boleh menghubungi saya bagi mendapat bantuan berkenaan, ” jelas beliau.