NGO cadang KKM, Majlis Agama Islam Negeri tubuh Skuad Syifa di hospital

NGO cadang KKM, Majlis Agama Islam Negeri tubuh Skuad Syifa di hospital

Serantau Muslim mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri menubuhkan Skuad Syifa di setiap hospital seluruh negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Serantau Muslim Dr Raja Ahmad Iskandar bin Raja Yaacob berkata, walaupun sebelum inipegawai aggama ditempatkan di hospital-hospital kerajaan tetapi bilangannya masih tidak mencukupi.

“Serantau Muslim terpanggil untuk mencadangkan penempatan ahli agama yang terlatih atau Skuad Syifa di setiap hospital di seluruh Malaysia.
“Ia adalah penting bagi membantu para pesakit lebih dekat dengan agama dan memahami dengan lebih baik pelaksanaan solat serta ibadah khusus yang lain yang diwajibkan agama Islam walaupun mereka dalam keadaan yang tidak sihat.

“Serantau Muslim mencadangkan penubuhan Skuad Syifa juga adalah untuk membantu kakitangan hospital yang mungkin sukar menyantuni pesakit yang mempunyai kurang ketahanan mental dan fizikal bilamana mereka disahkan menghidapi sesuatu penyakit atau mengalami kecederaan yang kritikal.

“Skuad Syifa yang didedahkan dengan ilmu Psikologi dan Kaunseling mungkin boleh membantu memahami pesakit ke arah yang lebih tenang dan menerima keadaan mereka yang sedang diuji seadanya tanpa melakukan tindakan yang kurang bijak seperti bunuh diri mahupun menjauhkan diri dari kehidupan sosial mereka.

“Ahli agama yang terlatih juga boleh memberikan pendidikan secara tidak formal dengan memberi penekanan terhadap konsep sakit, motivasi kesihatan, penerimaan kendiri dan sebagainya kepada pesakit. Dalam kata lain, Skuad Syifa tidak hanya membantu dalam soal ibadah tetapi seimbang dalam menyelesaikan masalah dunia dan akhirat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau lagi, cadangan ini tidak hanya memfokuskan kepada bantuan kepada menyantuni orang muslim malah bukan muslim juga.

Ini kerana katanya, Islam yang berteraskan sifat ihsan sememangnya akan berbuat baik kepada semua manusia tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Loading...

“Skuad Syifa yang ingin ditubuhkan ini juga harus mempunyai sikap keterbukaan yang tinggi dalam melayani setiap ragam pesakit di hospital-hospital.

“Seiring dengan itu, Serantau Muslim amat mengharapkan cadangan ini mendapat galakan dan kerjasama pejabat agama serta masjid bagi mengukuhkan prosedur untuk menubuhkan Skuad Syifa yang bakal menjadi perantara antara pihak hospital dan institusi agama pada masa akan datang,” ujarnya.