Malaysia Dateline

NGO desak KBS hormati dasar bahasa dan guna bahasa kebangsaan dalam pentadbiran

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid menuntut agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertahankan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi, penggunaan bahasa itu sendiri menggambarkan pelaksanaan dasar kerajaan,

Beliau berkata, pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Steven Sim Chee Keong itu amat mengejutkan dan menggesa agar KBS membatalkan penjenamaan semula Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge.

Malah katanya, Teras memberi perhatian serius perkembangan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang seolah-olah cuba disisihkan dengan penjenamaan acara sukan tahunan dibawah KBS.

Mohd Azmi Abdul Hamid

“Kami menzahirkan kekesalan terhadap perubahan ini dan menuntut supaya keputusan ini dibatalkan dan penjenamaan acara tersebut harus menggunakan Bahasa Kebangsaan.

“KBS mungkin berpendirian seolah-olah isu penjenamaan ini bukan satu isu besar.

“Namun begitu, sebagai sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya mempertahankan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi, penggunaan bahasa itu sendiri menggambarkan pelaksanaan dasar kerajaan, ” ujarnya dalam kenyataan.

Soal Mohd Azmi lagi, mana mungkin agensi kerajaan bercanggah dengan dasar kerajaan sendiri.

Sehubungan itu katanya, apabila perubahan seperti ini dimulakan, akan wujud lagi penyisihan Bahasa Kebangsaan dalam banyak acara dan urusan rasmi yang lain.

“Secara jelas peralihan Bahasa Kebangsaan kepada Bahasa Inggeris oleh KBS tidak selaras dengan Dasar Bahasa Kebangsaan, malah bercanggah dengan Akta Bahasa.

“KBS tidak harus meremehkan Bahasa Kebangsaan dengan andaian bahawa ia adalah isu yang kecil, sedangkan sebenarnya ia merupakan isu besar sekiranya dirujuk kepada asas pembinaan negara yang berpandukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sejajar dengan itu kami mempersoalkan apakah masalah sebenar KBS jika ia kekal menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam acara kebangsaan, ” tegasnya.

Tambah beliau lagi, sekiranya KBS juga berfungsi untuk membina jatidiri generasi muda negara ini, maka penggunaan Bahasa Kebangsaan adalah bahagian penting dalam penerapan nilai dan jatidiri kebangsaan rakyat negara ini.

Katanya, semua acara rasmi agensi kerajaan samada diperingkat daerah, negeri maupun kebangsaan, tidak seharusnya menggunakan bahasa lain selain dari Bahasa Kebangsaan semata-mata.

“Setelah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, sekiranya terdapat agensi kerajaan sendiri tidak serius memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan, kami berpendirian kerajaan harus menyemak semula kepimpinan agensi berkenaan.

“Pegawai kementerian yang bertanggungjawab melaksanakan pengurusan dan program disetiap agensi harus lebih peka terhadap dasar Bahasa Kebangsaan.

“Mereka harus menasihati Menteri dalam semua aspek polisi kerajaan termasuk soal bahasa agar ianya tidak dilihat seperti memperlekehkan Bahasa Kebangssan yang menjadi citra dan jatidiri rakyat Malaysia, ” saran beliau yang juga merupakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.

Pada Rabu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong berkata, penggunaan nama ‘Malaysia Sports Challenge 2019 bukanlah tindakan merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu, nama tersebut bertujuan memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Pemimpin DAP itu dalam reaksinya berkata, penggunaan MySC’19 tidak merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Sebaliknya, Chee Kiong mendakwa penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan.