Malaysia Dateline

NGO diseru bersama ringankan beban ibu bapa kurang berkemampuan

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan berkemampuan perlu mengambil bahagian aktif membantu golongan berpendapatan rendah berhadapan tekanan ekonomi khususnya di musim kembali ke sekolah sekarang.

Bekas Ketua Jajahan Bachok Datuk Ismail Ghani berkata, mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah terpaksa berbelanja tinggi untuk persiapan ke sekolah dan keperluan lain seperti berkhatan.

“Dengan barangan peralatan untuk kembali ke sekolah kini memerlukan RM200 hingga RM300 untuk setiap pelajar tentulah amat berat bagi mereka yang tiada pendapatan tetap.

“Keperluan ini berganda apabila ada anak-anak lelaki yang perlu berkhatan kerana perbelanjaan untuk tujuan itu sekarang melebihi RM100 bagi setiap orang kanak-kanak,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program khatan perdana di masjid Muttaqin, Bachok semalam.

Datuk Abdul Ghani dalam majlis khatan perdana di Bachok semalam.

Majlis itu katanya, dijayakan dengan bantuan Pertubuhan Ikram Kelantan dan orang ramai di sekitar masjid berkenaan.

“Semangat tinggi yang ditunjukkan oleh penyelenggara majlis ini perlu diberi penghargaan tinggi.

“Walaupun jumlah yang dapat kita bantu hari ini tidak begitu besar, namun ia cukup bermakna kerana ibu bapa yang menyertai program ini benar-benar golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga timbalan pengerusi AMANAH kawasan Bachok melahirkan rasa syukur kerana kerja-kerja membantu golongan asnaf dapat dijayakan dengan baik.

“Walaupun parti kita baru dan tidak ada peruntukan besar, banyak pihak sudi menyumbang dalam kerja-kerja kebajikan yang dirancangkan.

“Pada musim banjir baru-baru ini, saya bersama jawatankuasa AMANAH Bachok turun ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

“Rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) juga turut serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban yang dialami mangsa banjir,” katanya.