Malaysia Dateline

NGO gesa tanah milik Melayu di Pulau Pinang didaftar segera bagi menjamin pemilikan

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa supaya semua tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang yang belum didaftarkan, perlu didaftar dengan segera bagi memastikan pemilikan tanah orang Melayu di negeri tersebut jelas dan selamat.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rancangan kerajaan negeri untuk menukar kawasan luar bandar kepada bandar perlu dikaji semula kerana pemilikan tanah orang Melayu di negeri itu akan terjejas sekiranya tidak diurus dengan baik.

“Sebarang rancangan menukar status tanah Melayu hendaklah mengambil kira pelan pembangunan fisikal dan pelan lokal di bawah Akta Pembangunan Bandar dan Desa.

“Tanah milik Melayu di Pulau Pinang termasuk tanah wakaf akan menerima tekanan akibat status yang berubah dan ia boleh merubah pelan asal dan ianya tidak boleh diterima.

“Rancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan dengan berubah status tanah luar bandar kepada luar bandar sebenarnya tidak boleh diterima,” ujar beliau yang juga merupakan Koordinator Jaringan Bertindak Tanah Milik Melayu.

Kata beliau lagi, tanah tidak boleh dilihat hanya sebagai komoditi untuk dijual beli, sebaliknya ia juga merupakan warisan yang penting bagi mengekalkan budaya dan tradisi kehidupan orang Melayu.

Tambahnya, pemilikan tanah dalam kalangan orang Melayu merupakan benteng terakhir sosio-ekonomi Melayu yang kini masih terpinggir.

Tegas Mohd Azmi, kerajaan negeri perlu mengimbangi pembangunan di Pulau Pinang dengan tidak menjejaskan pemilikan tanah orang Melayu.

Beliau juga berkata, sebuah badan bagi meniti statistik tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang hendaklah diwujudkan supaya status pemilikan tanah mereka dapat dibangunkan tanpa perlu dijual atau bertukar tangan.

Rentetan itu beliau menyarankan supaya perkampungan Melayu dipertahankan dengan meningkatkan kualiti kemudahan awam serta dibangunkan sesuai dengan sosio-budaya di Pulau Pinang.