Malaysia Dateline

NGO Islam bantah kerajaan utamakan judi dari bantu rakyat

Kerajaan patut memberi prioriti terhadap sektor industri yang mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya dalam situasi yang amat mencabar ketika penularan wabak Covid-19.

Langkah kerajaan memberi keutamaan kepada industri perjudian dengan membenarkan premis judi dibuka semula dengan peningkatan dan kekerapan cabutan khas sepertimana yang telah dilaporkan adalah tidak wajar.

Demikian kekesalan yang dizahirkan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurut beliau, MAPIM membantah keras keputusan kerajaan membenarkan premis judi dibuka semula serta syarikat nombor ramalan telah diumumkan boleh kembali beroperasi selepas mendapat kebenaran kerajaan.

“Keputusan kerajaan mencambahkan lagi kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4 digit daripada 8 kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021 merupakan judi cabutan yang lebih banyak dicuba oleh golongan B40 dan akhirnya mereka berhadapan dengan masalah yang sangat parah termasuk keruntuhan rumahtangga dan terpalit dengan hutang.

“Kerajaan seharusnya memahami kesan budaya ketagihan berjudi yang membawa kerosakan kepada masyarakat serta juga nilai cukai yang kecil diperolehi kerajaan dari hasil judi berbanding kesan negatif sosial dan keselamatan masyarakat.

“Lebih dikesali apakala seluruh dunia dan rakyat bergelut untuk kesinambungan hidup dan mencari jalan untuk mengatasi pandemik wabak Covid-19 tiba-tiba kerajaan pula melayani permintaan industri perjudian untuk beroperasi semula,” ujar beliau.

Katanya lagi, kerajaan perlu menyedari bahawa industri judi walaupun betapa besar cukai yang diperolehi, ia akan tetap mempengaruhi implikasi ekonomi, sosial serta budaya masyarakat dan tidak membantu membina masyarakat berteraskan nilai dan budaya hidup yang murni dan sihat.

Persoalan yang timbul tegasnya, tatkala masyarakat Islam sering diingatkan faktor diturunkan bala dari Tuhan ekoran kemungkaran yang dihalalkan, kenapa pula kerajaan memberi mesej yang sangat kontradik apabila industri judi dibenarkan beroperasi sedangkan dalam masa yang sama jemaah surau dan masjid pula dihadkan sehingga kini.

Mohd Azmi juga menyatakan keputusan kerajaan kini adalah bertentangan dengan Maqasid Syariah dan ciri-ciri sebuah negara Islam serta agak pelik dan aneh apabila ia dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang sering mencanang-canangkan ia sebagai kerajaan yang berteraskan Melayu dan Islam.

Maka itu katanya, MAPIM menuntut agar keputusan tersebut dibatalkan serta perancangan secara berperingkat-peringkat dilakukan bagi memastikan industri judi dalam negara ini dapat dihapuskan.