Malaysia Dateline

NGO Islam Malaysia kesal sidang diguna tingkatkan ketegangan dengan Iran

Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Malaysia kesal dan mengecam Sidang Liga Arab dan Negara Teluk kelmarin di Mekah atas nama sidang tergempar diguna untuk meningkatkan lagi ketegangan Asia Barat dengan mensasarkan Iran sebagai musuh.

Dalam satu kenyataan hari ini NGO-NGO berkenaan berkata, apa yang lebih malang sidang Arab itu dibabitkan pula dengan sidang OIC yang menggambarkan seolah-olah sidang OIC juga turut bersetuju dengan pengisitiharan yang dihasilkan oleh sidang Arab itu (GCC dan Liga Arab).

Keanyataan berkenaan ditandatangani bersama oleh Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Syura), Datuk Wira Ustaz Abdul Ghani Samsudin, Presidan MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia, Syed Sheikh Al Attas dan Pengarah Citizen International, Mohideen Kader.

“Dalam pengakhiran bulan Ramadhan ini sepatutnya dijadi kesempatan untuk seluruh umat Islam terutama pemimpin negara-negara Islam mengukuhkan persaudaraan, malangnya Saudi dengan kuncu-kuncunya bersekongkol dengan Amerika dan israel untuk menghancurkan sebuah negara Islam anggota OIC.

“Kami berpendapat Saudi kini telah menjadi punca negara-negara Islam berpecah. Lebih parah ia telah menjadi proksi kepada Amerika dan israel untuk memporak-perandakan negara-negara Arab dan Islam di Asia Barat.

“Anehnya sidang itu tidak langsung memberi perhatian sepatah pun mengenai nasib umat Islam yang menderita di Yemen dan Palestin serta Al Aqsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam persidangan tersebut tidak ada pernyataan sedikit pun mengenai status Masjid Al Aqsa diceroboh oleh tentera zionis israel.

Mereka berpendirian bahawa tindakan Saudi itu dan beberapa negara Arab di bawah telunjuknya, jelas bertentangan dengan prinsip persaudaraan Islam.

“Malah lebih parah, ia telah terperangkap dalam percaturan yang diolah oleh Amerika dan israel.

“Perjanjian tajaan Presiden Amerika Donald Trump dan menantunya Jerald Kushner yang digelar Deal of the Century yang bakal didedahkan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjayakan agenda israel Raya ( Greater israel ) dan turut menjamin keselamatan negara teroris itu.

“Negara-negara Islam kini diporak- perandakan oleh pakatan negara Arab dengan Amerika dan israel.

“Kami mempersoalkan ucapan pembukaan Raja Salman yang memberi gambaran khusus kepada 3 sidang tersebut bahawa sidang ini khas hendak berbincang bagaimana bertindak ke atas Iran.

“Sementara Raja Salman jelas akrab dengan Amerika, kami mengecam tindakan ketua Saudi itu yang menjustifikasi rancangan Amerika untuk melancarkan perang ke atas Iran,” katanya.

NGO-NGO Islam ini selanjutnya mendesak:

1. Negara Arab terutama Arab Saudi dan Emirate Arab Bersatu berhenti menjadi alat kepada Amerika dan israel untuk menjayakan agenda zionis israel.

2. Kedudukan Al Quds dan Masjid Al Aqsa mesti dijadikan pemersatu umat, oleh itu seluruh pemimpin negara Islam perlu menumpukan kepada meningkat kerjasama demi membebaskan bumi Palestin dan Masjid Al Aqsa.

3. Seluruh negara Islam perlu menolak Deal of the Century anjuran Donal Trump. Perjanjian itu adalah untuk menjamin keselamatan israel semata-mata diatas kesengsaraan dan perlanggaran hak manusia rakyat Palestin.

4. Sidang OIC Khas diadakan untuk membincang kesepakatan membantah provokasi AS untuk perang ke atas Iran serta mendesak sekatan keatas Iran dicabut.