NGO jaga anak terbiar perlu perhatian kerajaan negeri, masyarakat setempat

NGO  jaga anak terbiar perlu perhatian kerajaan negeri, masyarakat setempat
Sukarelawan bersama-sama dengan sebahagian dari kanak-kanak yang dipelihara di pusat tersebut.

Pertubuhan Penyayang Chi Yun,(Pusat Anak Yatim) Bukit Mertajam, mengharap simpati masyarakat setempat serta kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendapat premis yang lebih sempurna bagi menjaga dan memelihara 35 kanak-kanak dan remaja terbiar di negeri itu.

Setiausahanya Datuk Michelle Khaw berkata, premis yang menempatkan kesemua kanak-kanak terbiar yang berusia daripada  9 bulan sehingga 19 tahun itu terletak di Jalan Pengkalan, Bukit Tengah, memperolehi dana hasil  simpati dan sumbangan orang ramai.

Namun katanya lagi, premis yang disewa sebanyak RM900 sebulan itu sejak empat tahun lalu masih mengharap sokongan kerajaan negeri supaya kanak-kanak terbiar yang dipelihara mendapat pembelaan.

“Di sini terdapat seramai 13 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan yang terdiri dari pelbagai kaum dipelihara dan dijaga di pusat tersebut.

“Dikalangan kanak-kanak ini, ada yang tidak diketahui status mereka kerana dibuang ditepi jalan serta ada juga yang ditemui dihadapan pintu pusatini pada waktu awal pagi.

“Terdapat juga kanak-kanak yang dihantar ke sini oleh orang ramai tanpa diketahui ibu dan bapa mereka.

“Kerana simpati dan kasihan kepada anak-anak tersebut maka kami menerima juga untuk dipelihara dengan bantuan dari individu tertentu serta orang ramai, ” katanya.

Beliau juga berkata, setiap hari kos untuk makan dan minum termasuk susu bayi, mencecah sehingga RM200.

Malah katanya pertubuhan tersebut juga menyediakan beberapa sukarelawan untuk sama-sama membantu bagi memelihara dan mengurus kesemua anak-anak tersebut.

Tinjauan yang dibuat dilokasi premis tersebut juga mendapati kanak-kanak lelaki dan perempuan diasingkan mengikut jantina dan usia.

Kebanyakan mereka terdiri dari kanak-kanak keturunan Cina, Vietnam, Myanmar dan lain-lain status yang tidak diketahui.

“Kami telah pun membuat permohonan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mendapat kelulusan bagi operasi memelihara kanak-kanak ini pada tahun 2018, tetapi sehingga kini belum ada apa-apa perkembangan setelah melewati setahun.

“Permohonan dan makluman bagi mendapat sokongan dari wakil rakyat kawasan Parlimen Batu Kawan maupun Timbalan Perdana Menteri juga telah pun kami ajukan sejak tahun lalu, tetapi tidak mendapat apa-apa tindakan selepas itu.

“Lebih menyedihkan beberapa bulan lagi kami terpaksa mengosongkan premis ini setelah pemiliknya ingin mendapat kembali premis ini menyebabkan kami mengharapkan kerajaan negeri untuk bantu membela nasib 35 kanak-kanak yang sedang dipelihara sejak beberapa tahun yang lalu,” tambahnya lagi.

Antara wajah-wajah kanak-kanak yang tidak diketahui statusnya dipelihara di pusat anak yatim tersebut.