Malaysia Dateline

NGO lapor polis dakwaan hantaran fb fitnah Salahuddin

Tiga pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) hari ini membuat laporan polis berhubung satu posting di Facebook yang mengeluarkan kenyataan fitnah dan berbaur hasutan terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Tiga Ngo tersebut merupakan badan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri dari Skuad Prihatin Kuala Lumpur, Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN), dan Pertubuhan Pergerakan Pemulihan Huaxia Sedunia Malaysia yang turut dihadiri oleh Pengerusi Ngo Harapan, Ustaz Asri Talib.

Datuk Noor Ali Akhbar

Melalui posting tersebut, pemilik akaun bernama Zam Yahaya, Rezan Yusof dan Roslan Latif didakwa memuatnaik gambar Adun Pulai yang kononnya mengeluarkan kenyataan bahawa memberikan peluang pada bangsa Cina mentadbir negara adalah idea yang baik seperti pentadbiran Singapura.

Pengerusi Skuad Prihatin KL, Datuk Mohd Noor Ali Akhbar, berkata, kenyataan tersebut dilihat dengan sengaja mencetuskan kemarahan orang Melayu dengan posting berbaur perkauman.

“Saya menggesa pihak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas ke atas ketiga-tiga pemilik akaun yang menyebarkan kenyataan fitnah itu.

“Menteri Salahuddin sendiri menafikan kenyataan tersebut dan kenyataan sensitif itu dibuat dengan niat sengaja mahu menjejaskan imejnya dan juga imej kerajaan.

“Dia (pemilik akaun) mahu mengalih perhatian dari segi kepentingan politik agar orang Melayu marahkan menteri,” katanya dalam sidang media dihadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Terdahulu, dalam posting fitnah tersebut, Zam Yahya memuatnaik gambar Salahuddin bersama kenyataan yang menyebut ‘Singapura memberikan kita contoh terbaik. Jika Melayu minoriti boleh menjadi Presiden mengapa tidak kita beri peluang pada bangsa Cina mentadbir Malaysia? Ia idea yang bagus’.

Mohd Noor yang juga wakil AMANAH kawasan Kepong berkata, laporan dibuat agar PDRM dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pemilik akaun dan pengendali page berkenaan tanpa sebarang prejudis.

Laporan turut dibuat di bawah seksyen 499/500 kanun keseksaan.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Aalya Azhar turut membuat aduan polis berhubung posting berkenaan.

Pada masa sama, Ustaz Asri Talib, mengumumkan pelancaran kempen ‘No Fitnah Posting’ di media-media sosial bagi memerangi gejala fitnah yang kian berleluasa membabitkan menteri-menteri kerajaan PH.

Beliau berkata, sudah sampai masanya semua pihak turut bergandingan dan bertindak tegas memerangi segala penulisan yang tidak sahih agar tidak menyebarkan fitnah dan hasutan yang boleh memburukkan keharmonian negara.
“Kita melihat fitnah itu satu keburukan yang tidak sepatutnya dibawa masyarakat Malaysia yang inginkan keharmonian. Jadi kita harapkan kempen ini akan berjaya dan tersebar luas.

“Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, kami akan perangi habis-habisan posting fitnah yang dikeluarkan yang telah dikongsi tanpa melihat ketulenan dan kesahihannya,” tegasnya.