Malaysia Dateline

NGO masih beri harapan kepada Ku Li bela Felda

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Baru, masih memberikan harapan besar terhadap Tengku Razaleigh Hamzah yang masih memandang berat isu membelenggu Felda.

Semasa kunjungannya ke kediaman ahli Parlimen Gua Musang itu, pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, Ku Li konsisten dalam memberikan pandangannya terhadap Felda terutama isu penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

Menurutnya, meskipun Ku Li seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), namun beliau sedari awal bertegas nenentang perkara tersebut.

“Oleh kerana penyenaraian FGV gagal, seharusnya jalan keluar (bail out) dibuat oleh kerajaan bagi memikul tanggunjawab tersebut.

“Apabila terbitan sukuk RM9.9 bilion dilakukan, maka beban itu tidak wajar dipikul oleh Felda.

“Beban hutang sedia ada (seperti pembentangan kertas putih 10 April 2019) akan terus menimbun melalui sukuk. Ini akan memangsakan peneroka dan Generasi Baharu Felda,” katanya.

Tambah bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang itu, jika sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menyaksikan ngo-ngo Felda menyokong Tun Dr Mahathir sehingga berjaya menawan 19 dari 54 kerusi Felda, maka sesuatu perlu dilakukan kali ini.

Katanya, momentum baru perlu diusahakan dan tidak mengulangi kegagalan melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan.

“Sama ada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh (yang ada beberapa Tanah Rancangan Felda) membuktikannya, atau Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Ketua Pembangkang menggalas harapan baru warga Felda pada keseluruhannya.

“Inilah pakej penyatuan melangkau politik kepartian yang mana Tengku Razaleigh boleh berperanan. Tokoh yang masih punya aura dan pengaruh tersendiri,” katanya lagi.