NGO Murshid bertemu Menteri Agama bincang pelbagai isu termasuk LGBT

NGO Murshid bertemu Menteri Agama bincang pelbagai isu termasuk LGBT

Presiden Murshid Dr Zaharuddin Abdul Rahman mengadakan pertemuan di pejabat Dr Mujahid di Putrajaya

Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) mengadakan kunjungan bertemu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa bagi membincangkan pelbagai isu yang hangat di perkatakan mutakhir ini.

Di dalam pertemuan itu, Presidennya, Dr Zaharuddin Abdul Rahman bersama beberapa rakan asatizah dari Institut Ibn Qayyim turut membincangkan beberapa isu termasuklah isu LGBT yang ditolak oleh menteri tetapi disalahertikan oleh media sehingga dijadikan bahan fitnah.

Sebanyak 11 isu yang dibincangkan di dalam pertemuan itu, antaranya, hafizuddin dan maqasid syariah, perkahwinan kanak-kanak, Dr Zakir Naik dan pendekatan ucapannya jika di Malaysia, pertemuan Ramasamy & Dr Maza, reformasi institusi agama dengan pendekatan baru dan segar, majlis atau sekretariat pemikir Islam negara dan kerisauan sebahagian umat Islam terhadap polisi kerajaan terhadap Islam dan Muslim.

Mereka turut membangkitkan program-program realiti di televisyen khususnya berkonsepkan agama yang semakin popular tetapi perlu diubah.

“Begitu juga program dialog muslim dan non muslim di tv bentuk bersasar dan drama Islamik dalam bentuk terkini, segar dan memandaikan rakyat,” katanya di Facebooknya hari ini.

Zaharuddin turut memuji sikap menteri yang sangat terbuka dan responsif kerana memberi ruang pihak-pihak luar politik kepartian memberi pandangan dan idea kontruktif.

“Alhamdulillah YB Menteri sangat terbuka, responsif dan sudi memberi masa hampir sejam untuk mendengar pandangan-pandangan kami walau dengan jadualnya yang sangat padat.

“Suatu sikap YB menteri yang sangat baik bagi terus mendokong hasrat rakyat, memberi ruang pihak-pihak luar politik kepartian memberi pandangan dan idea konstruktif.. Tahniah..

“Doakan yang baik-baik, itu amat diperlukan berbanding sindiran yang tiada sebarang manfaat kecuali merosakkan diri,”ujarnya.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS