NGO Pro BN buat laporan polis terhadap kartunis Zunar

NGO Pro BN buat laporan polis terhadap kartunis Zunar

Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (BN) hari ini membuat laporan polis terhadap kartunis Zunar yang dikatakan mengaibkan kerajaan dan pemimpin Malaysia di luar negara.

Laporan polis itu dibuat oleh presiden NGO Pro BN Zulkarnain Mahdar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Dalam laporan polis itu, Zulkarnain mendakwa Zunar atau nama sebenar Zulkiflee S.M. Anwar Ulhaque antara lain telah menghina dan mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib  Razak menerusi karikatur di pameran kartun di Geneva, Switzerland, pada 4 Mei lalu.

Ia berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta kebebasan bersuara di negara ini.

Pameran itu anjuran Yayasan Kartun Switzerland (YKS).

Zulkarnain berkata, “NGO Pro BN percaya YKS tidak mendapat maklumat yang benar mengenai situasi politik di Malaysia.

“Sehubungan dengan itu satu memorandum bantahan akan dihantar kepada YKS agar ia menarik balik anugerah kepada Zunar.

“Jika tidak, NGO Pro BN akan mengadakan demo aman di hadapan ibu pejabat Yayasan tersebut,” kata Zulkarnain dalam kenyataan selepas membuat laporan polis itu semalam.

Zunar bersama kartunnya di GenevaKatanya, tuduhan Zunar menerusi media luar negara kononnya kebebasan berkarya di Malaysia disekat tidak benar sama sekali.

Sebaliknya Malaysia memberi kebebasan berkarya kepada kartunis dan wartawan sejak era bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga era Najib.

Katanya, kebebasan berkarya tidak bermakna kebebasan untuk memfitnah atau mengaibkan orang lain.

Zulkarnain berkata perbuatan Zunar menggelarkan pemimpin negara ini sebagai ‘regim’ adalah tidak berasas sama sekali kerana dua negeri di negara ini diperintah parti pembangkang.

Akhbar beraliran pembangkang bebas dijual kepada umum dan portal pro pembangkang bebas beroperasi, kata Zulkarnain.

TAGS