Malaysia Dateline

NGO rayu Agong isytihar darurat, tangguh PRN Johor

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di Johor bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pengisytiharan darurat perlu dikuatkuasakan ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 yang kini mencecah sehingga lima angka.

“Atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk kebimbangan dari varian Omicron seperti yang dimaklumkan Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan, patik merayu pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan PRN Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, negara dikejutkan dengan peningkatan kes Covid-19 yang naik mendadak sehingga 10,089 kes dan mengundang kebimbangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut memberi amaran bahawa kes akan terus melonjak kepada 15,000 dalam masa terdekat.

Sementara itu Mazlan berkata, pengisytiharan darurat pernah dilakukan ketika PRN Sarawak, PRK Batu Sapi dan PRK Gerik atas alasan yang sama.

Justeru katanya, keutamaan ketika ini adalah melaksanakan langkah-langkah segera bagi mengekang Covid-19 yang kembali meningkat termasuk mengehadkan pergerakan rakyat melalui SOP dan lain lain.

“Nyawa rakyat adalah segala-galanya, manakala mandat yang diberi rakyat boleh disekalikan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya lagi.