NGO rayu jadikan Gunung Pulai sebagai muzium rimba

Oleh MALAYSIADATELINE

Pertubuhan Unit Terknikal Integriti Hijrah (Putih) hari ini merayu kepada kerajaan negeri Johor agar Gunung Pulai di negeri itu dijadikan muzium rimba.

Menurut Timbalang Pengerusinya Nor Azimah Abdul Mutalib, 44, berkata gunung tersebut sesuai dijadikan tempat atau destinasi pelancongan kerana di situ terdapat banyak artifak-artifak sejarah Perang Dunia.

Menurutnya lagi selain menjadi muzium sebagai tatapan pengunjung, kerajaan negeri turut disarankan untuk menaik tarafkan tapak gunung berkenaan.

Nor Azimah Abdul Mutalib

“Kami mendapati Gunung Pulai sesuai dijadikan lokasi pelancongan untuk menarik pengunjung cuma selama ini kami bergerak sendirian dengan bantuan agensi dan jabatan yang berkenaan.

“Gunung ini mengandungi banyak khazanah sejarah perang dunia seperti lapangan kapal terbang lama, landasan keretapi, kubu, bangkai kereta kebal, gua persembunyian, empangan air serta pelbagai lagi khazanah yang ada.

“Terlalu sayang sekiranya khazanah seperti ini dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang penyelenggaraan untuk dibangunkan bagi tatapan pengunjung,” katanya sewaktu ditemui.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa gunung berkenaan mampu dijadikan tarikan kepada bahan ilmuan bagi pendidikan sekolah-sekolah di negeri ini.

Beliau juga menyatakan perkara tersebut mampu untuk dikembang luaskan bagi pengunjung yang hadir mengetahui peristiwa sejarah yang pernah berlaku di negeri ini.

“Ia boleh dijadikan tapak ilmu di mana pihak sekolah boleh mengajak murid-murid untuk mengetahui sejarah Perang Dunia yang pernah berlaku di negeri ini secara lebih dekat lagi.

“Selain menyediakan tempat sejarah, pihak kerajaan boleh membangunkan tempat ini sebagai taman tema dengan mewujudkan kawasan aktiviti lasak serta tapak perkhemahan.

“Saya berharap kerajaan dapat mengambil berat akan perkara ini sekaligus dapat membantu masyarakat mengenali khazanah berharga di negeri ini,” katanya lagi.

Sebelum ini NGO Putih telah banyak melakukan aktiviti bagi memelihara semula jadi gunung tersebut selain program-program yang diadakan bersama-sama agensi dan jabatan membabitkan perhutanan.