NGO SARMY jejak Melayu Islam di Sri Lanka

NGO SARMY jejak Melayu Islam di Sri Lanka

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rumpun Melayu bukanlah wujud hanya dalam lingkungan negara nusantara seperti di Malaysia, Kemboja, Brunei, Thailand dan Indonesia sahaja sebaliknya Melayu juga bertapak di Sri Lanka.

Banyak faktor yang penyebabkan bangsa Melayu itu berada di sebahagian dunia temasuklah faktor perluasan empayar British di Tanah Melayu dan negara di luar lingkungan nusantara seperti di negara India dan Sri Lanka sekitar kurun ke- 18.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa penempatan bangsa Melayu masih wujud di Sri Lanka walaupun bilangan mereka sangat sedikit.

Lebih menarik lagi mereka masih kekal beragama Islam walaupun jumlahnya minoriti berbanding penganut Budha dan Hindu.

Hasil maklumat yang diperolehi daripada beberapa sumber dalam dan luar negara mengenai kesempitan hidup Melayu Islam yang berada di Sri Lanka, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SARMY) telah melancarkan program Jejak Melayu Islam di Sri Lanka.

Program yang dianjurkan pada 14 hingga 16 Disember lalu telah menemukan SARMY dengan perkampungan Melayu Islam yang terletak di Colombo, bahagian timur negara Sri Lanka.

Perkampungan itu dihuni oleh 45 buah keluarga muslim dan pihak SARMY mendapati bahawa mereka hidup dengan dhaif dan kesempitan.

SARMY mengambil peluang bertemu dengan wakil penduduk Melayu Islam Sri Lanka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kedudukan hidup mereka yang terasing dan terpencil daripada pembangunan negara.

Sebahagian besar mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap selain tidak mampu untuk membina rumah yang selesa dan sering kali berpindah randah berikutan tidak memiliki tanah sendiri dan hidup merempat mengharapkan belas ehsan orang ramai.

Antara punca utama berlakunya keadaan seperti itu adalah disebabkan diskriminasi khususnya oleh masyarakat setempat kepada Bangsa Melayu yang beragama Islam yang dilihat berbeza dari sudut budaya, adat istiadat dan kepercayaan.

Keadaan mendesak seperti ini menyebabkan generasi Melayu Sri Lanka terpaksa untuk mengadaptasi kehidupan seperti rakyat Sri Lanka yang lain terutama dari sudut bahasa, pakaian dan agama.

Ada yang murtad

Menjadi kerisauan SARMY apabila mendengar penjelasan bahawa masyarakat Melayu Islam di Sri Lanka sudah ada yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan menukarkan agama dari Islam kepada Budha ataupun Hindu.

Justeru, misi Jejak Melayu Islam Sri Lanka yang diadakan oleh SARMY tidak sekadar berfokus kepada bantuan kebajikan, sebaliknya juga misi untuk menyelamatkan akidah bangsa Melayu yang beragama Islam.

Pada misi tersebut, SARMY telah menyampaikan bantuan berupa keperluan harian seperti makanan dan wang kepada 45 buah keluarga muslim hasil sumbangan orang ramai.

Masyarakat Melayu Islam di Sri Lanka ternyata terharu dengan keprihatinan SARMY menjejaki mereka walaupun lokasi kampung itu agak jauh daripada ibu negara Sri Lanka iaitu Colombo.

Walaupun sudah lama merantau dan meninggalkan bumi asal mereka iaitu Malaysia, pihak SARMY agak gembira apabila sebahagian besar penduduk melayu di Sri Lanka masih mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dan masih berusaha untuk mempertahankan akidah mereka melalui kelas kelas agama yang dilakukan pada setiap minggu walaupun penuh dengan kesulitan dan tekanan.

Sarmy turut berbincang dengan masyarakat disana tentang tekanan yang dihadapi oleh mereka serta apakah peranan yang boleh diberikan oleh Sarmy untuk membantu umat Islam berbangsa Melayu itu.

Wakil masyarakat, Basyir Yaseer, 39, menceritakan kesukaran mereka untuk beribadah disebabkan ketiadaan masjid, surau atau premis yang boleh menjadi platform untuk menyebarkan dakwah dalam menyelamatkan akidah umat Islam disitu.

Kata beliau, bangsa melayu disitu gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh disebabkan kurangnya kefahaman serta kesedaran agama.

Ujarnya, proses penyebaran agama telah dilakukan dengan membuka kelas-kelas agama secara kecil-kecilan walaupun tidak mempunyai kelengkapan pembelajaran.

“Saya dan bersama pertubuhan Islam disini sedang berusaha untuk membina sebuah masjid untuk dijadikan tempat menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat khususnya orang melayu.

“Kami telah berjaya mendapatkan sebidang tanah untuk membina masjid dan pembinaan tapak telah dimulakan, namun terhenti disebabkan ketiadaan dana,” katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Selain memberikan bantuan makanan dan wang tunai SARMY juga sedang mengumpul dana untuk pembinaan masjid bagi minoriti perkampungan Melayu yang berada di Colombo.Rayu sumbangan bina masjid

Basyir dengan penuh harapan mengharapkan umat Islam khususnya di Malaysia dapat membantu menyalurkan sumbangan untuk merealisasikan pembinaan masjid yang sedang tergendala itu.

Katanya, kos yang diperlukan adalah kira-kira RM120 ribu dan setakat ini beliau gagal untuk mendapatkan sumbangan daripada mana-mana pihak.

“Kami terharu dengan keprihatinan SARMY, saya harap SARMY dapat membantu kami mendapatkan sumber kewangan bagi meneruskan pembangunan masjid ini.

“Saya sangat risau, jika pembinaan ini tidak diteruskan, berisiko tanah yang dimiliki ini akan diambil oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan perkembangan Islam disini,” jelasnya lagi.

TAGS