NgO selar Razif kata telaga minyak Bertam bukan milik Terengganu

NgO selar Razif kata telaga minyak Bertam bukan milik Terengganu

Pertubuhan bukan kerajaan, Royalti Terengganu (R) menyelar kenyataan menteri besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman bahawa telaga minyak Bertam tidak berada dalam lingkungan tiga batu nautika yang membolehkan ia menjadi hak milik penuh kerajaan negeri.

Pengerusi R Terengganu Mohamad Fauzi Abdul Samah berkata, hasil selidikan R mendapati telaga minyak itu berada pada jarak 86 batu nautika atau 160 km dari perairan Pahang.

Sedangkan katanya, dari perairan Terengganu, telaga tersebut hanya berada jarak 74.5 batu nautika atau kira-kira 120 km sahaja menunjukkan jarak telaga tersebut lebih dekat dengan Terengganu berbanding Pahang.

“R menganggap kenyataan rambang Razif itu amat serius kerana ia bukan sahaja melibatkan isu ekonomi semata-mata.

“Perkara yang lebih besar dari itu, Razif telah meletakkan Terengganu dalam krisis kedaulatan. Isu kesempadanan bukanlah perkara yang enteng kerana setiap negeri mempunyai autoriti tersendiri terhadap tanah air mereka sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selama, Razif menafikan kenyataan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang menuduhnya sudah menandatangani dan menyerahkan medan telaga minyak Bertam 307 di perairan Terengganu kepada Pahang dan 1MDB.

Razif berkata, beliau tidak menandatangani sebarang dokumen mengenai telaga minyak Bertam kerana kawasan itu bukan milik kerajaan negeri dan ia dikendalikan oleh Petronas.

Beliau sebaliknya menjelaskan sehingga kini pihaknya masih berusaha membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan agar Terengganu memperoleh pendapatan daripada telaga minyak terbabit.

Fauzi Abu SamahR Terenggganu mendesak sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menentukan sempadan perairan sebenar setiap negeri terutama antara Pahang dan Terengganu agar memberi keadilan kepada semua pihak.

“Anak jati Terengganu pastinya malu memiliki menteri besar seperti Razif. Beliau yang juga anak jati Terengganu langsung tidak merasa bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan Terengganu dari pihak lain.

“Nampaknya beliau hanya memikirkan kelangsungan kedudukannya sahaja sebagai menteri besar ang dipilih Najib, bukan pilihan rakyat Terengganu, bukan pilihan istana malah bukan dari ahli Umno Terengganu sendiri,” katanya.

Katanya juga, rakyat Terengganu memerluan menteri besar yang dapat membawa suara rakyat dalam menuntut hak mereka dikembalikan.

“Sehingga hari ini, sepatutnya sudah RM200 juta wang royalti dari telaga minyak Bertam dapat dinikmati rakyat. Tidaklah Terengganu akan kekal sebagai antara negeri termiskin di Malaysia walaupun sepatutnya kaya,” katanya.