Malaysia Dateline

NGO setuju cadangan tambahan RM1,000 kepada rakyat Sabah

Pengerusi Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah (PKKS) Zaidi Jatil menyambut baik cadangan daripada pelbagai pihak agar Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan tambahan sebanyak RM1,000 kepada penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di negeri Sabah.

Katanya, berdasarkan jumlah 737,797 orang yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional dari kategori B40 serta M40 di negeri ini, ia telah menunjukkan betapa ramainya rakyat Sabah yang susah dan perlukan bantuan daripada kerajaan.

“Jika dikira jumlahnya, ia hanya menelan belanja sebanyak hampir RM734 juta sahaja berbanding sebelum ini Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM910 juta bagi pakej bantuan Covid-19 fasa pertama dan kedua.

“Sekiranya Kerajaan Negeri sebelum ini boleh melaksanakan sedemikian kenapa Kerajaan Pusat tidak boleh,” soal beliau dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Zaidi menjelaskan, dalam situasi Covid-19 yang semakin memuncak di negeri ini, kebanyakkan rakyat susah dan risau kerana takut dengan jangkitan tersebut.

“Andai kerajaan tidak memberi bantuan tambahan kepada penerima BPN di Sabah disebabkan kebimbangan kadar defisit negara menjadi lebih tinggi, ia adalah retorik semata-mata.

“Ini kerana, kerajaan perlu ingat bahawa pengiraan kadar defisit adalah berdasarkan jumlah yang dibahagi dengan saiz KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara.

“Malah, jika rakyat tidak dibantu dan dana tidak disuntik ke dalam ekonomi tempatan yang terhenti akibat PKP seluruh negeri, maka ramai perniagaan ditutup serta pekerja akan dibuang,” ujarnya yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negara Negeri Sabah.

Beliau menambah, peningkatan kes di Sabah naik mendadak awal Oktober lalu selepas Pilihan Raya Negeri ((PRN) Negeri dilaksanakan sekali gus menyumbang hampir 70% positif Covid-19 direkodkan di negeri ini.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini mampu memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang memiliki E-Kasih RM500 dan B40 RM300 selain bantuan bakul makanan yang diagihkan oleh wakil rakyat melalui pejabat Adun ketika itu.

“Justeru, saya berharap kerajaan diperingkat persekutuan dan negeri yang kini sudah sehaluan akan mampu memberikan keutamaan kepada rakyat Sabah dalam menghadapi saat-saat getir ini.

“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan tersebut dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Nor memainkan peranan penting untuk berbincang dengan Perdana Menteri berkenaan bantuan tambahan itu nanti,” kata beliau.