Malaysia Dateline

NGO sokong hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk tanpa toleransi

Tidak harus ada kompromi terhadap pemandu mabuk.

Malah mereka seharusnya dikenakan hukuman yang lebih berat termasuk penjara dalam tempoh yang lebih lama.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Pertubuhan Kesejahteraan Universal Malaysia, Datuk Ong Chuan Jin ketika ditemui.

Menurut beliau lagi, cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk sewajarnya disokong oleh semua pihak.

Pengerusi Pertubuhan Kesejahteraan Universal Malaysia Datuk Ong Chuan Jin.

“Memandu dalam pengaruh alkohol adalah amat merbahaya dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam banyak kejadian melibatkan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini, ianya menjurus kepada kematian dan kecederaan serius.

“Ianya memberi kesan yang buruk sehingga menyebabkan ada anak-anak yang terpaksa menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mereka menjadi mangsa kepada pemandu mabuk,” tegasnya.

Jelas Ong lagi, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda penjara tidak melebihi 12 bulan dan denda tidak melebihi RM6,000 sudah tidak relevan lagi.

Sebaliknya ujar beliau, denda yang lebih berat dan hukuman penjara yang lebih lama mesti dikenakan terhadap pemandu mabuk.

“Hukuman penjara maksima 12 bulan dan denda maksima RM10,000 sekiranya melibatkan kematian sepertimana yang terkandung dalam APJ Seksyen 44 mesti segera dipinda.

“Mana boleh kita biarkan akibat pemandu mabuk keluarga kehilangan orang tersayang dan mereka yang tidak bersalah pula kehilangan nyawa dan mengalami kecederaan.

“Pertubuhan Kesejahteraan Universal Malaysia menyokong penuh usaha kerajaan bagi mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap semua pemandu mabuk dan tidak harus diberi sedikit pun tolak ansur kepada golongan tersebut, ” tambah beliau.