Malaysia Dateline

‘NGO takut ada dibiar mati kelaparan, tidak diberi perubatan’

Mengapakah bantuan dari NGO wujud? NGO dan bantuan-bantuannya wujud untuk melengkapi masalah atau persoalan masyarakat yang tidak diselesaikan oleh kerajaan.

Memang semua kerja NGO sepatutnya kerja kerajaan. Tapi kerajaan lebih banyak main politik dan tidak mampu bergerak seprogresif NGO dalam membantu masyarakat terpinggir.

Tumbuhnya NGO bagai cendawan selepas hujan mencerminkan kelompongan yang besar dalam kerja-kerja orang politik.

Kerajaan mahu pun mana-mana orang politik tidak harus sombong. Sedarlah diri. Sepatutnya, bekerjasama dengan NGO dan mengambil maklumat atau dapatan dari NGO. Ketika kamu duduk di atas kerusi empuk, NGO sedang bekerja setiap hari memahami masalah masyarakat. Kamu dari atas memang tidak akan pernah memahami.

NGO juga mahu duduk rumah dan berehat. Tapi bagaimana kalau setiap hari kami dibanjiri mesej dan didatangi oleh orang berjumpa kami untuk memohon bantuan?
Mengapa mereka bertemu NGO bukan pusat kerajaan? Sebab sistem kerajaan sangat teruk banyak birokrasi, serabut dan akhirnya masalah masyarakat banyak tidak mampu diselesaikan.

Kerajaan banyak bercakap soal polisi dan dasar tetapi implimentasinya bagaimana? Bagaimana dengan orang di pulau, orang di pedalaman, pelarian, Orang Asli dan orang tanpa dokumen?

Bagaimanakah cara mendekati dan membantu mereka? Sedarlah bukan saja mereka tidak dapat bantuan, informasi juga mereka tidak dapat. Tidak semua orang ada kenderaan dan kelebihan menggunakan jalur lebar (internet).

Sedarkah kerajaan ada pulau yang berjam-jam untuk kita sampai menaiki bot. Ada pedalaman yang berhari untuk kita sampai dan ada yang tidak boleh masuk menggunakan kenderaan.

Ada pelarian yang terperangkap di penempatan mereka. Ada orang tanpa dokumen yang takut untuk keluar dan bantuan tidak pernah sampai ke tempat mereka.

Kerajaan tidak perlu larang NGO, kami boleh berhenti sendiri buat kerja kebajikan kemanusian ini.

Bolehkah kerjaan beri jaminan akan membantu semua golongan diceruk-ceruk mana pun? Boleh? Kalau boleh, kami semua berhenti buat kerja PERCUMA ini!

Jangan kata kami tidak salurkan maklumat kepada kerajaan. Habis air liur, habis kertas A4 laporan dicetak dan habis duit berulang kali naik turun pejabat kerajaan.
Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)? Kalau JKM ini bagus, rancangan Bersamamu TV3 pun tidak wujud!

Bercakap dari bibir politikus yang sedang duduk di kerusi empuk tidak mungkin sama dengan gambaran sebenar penderitaan rakyat kelas bawah.

Saya tidak akan berhenti bagi bantuan. Hukumlah apa pun, dan jangan lupa bantu komuniti yang saya jaga!

Kami NGO juga takut dijangkiti Covid-19 tetapi yang lebih kami takut adalah saudara semanusia kita dibiarkan mati tidak makan, mati tidak beri perubatan.

*Penulis ialah Koordinator Borneo Komrad.

Kerajaan perlu beri jaminan mampu bantu semua golongan hingga ke ceruk tanah air sebelum melarang NGO mmberi bantuan.