Malaysia Dateline

NGO terperanjat, pendedahan mereka disahkan bekas Pengerusi LGM

Badan Bukan Kerajaan yang mendedahkan skandal jualan tanah Lembaga Getah Malaysia (LGM) sebelum ini, SEDAR Malaysia begitu terperanjat dengan kenyataan media oleh Datuk Ahmad Nazlan Idris yang mengakui beberapa perkara yang didedahkan oleh mereka adalah berasas.

“Kami tidak tahu yang beliau telah ditamatkan kontrak sebagai Pengerusi LGM. Kami juga amat terperanjat dengan pendedahan yang beliau telah berkongsi dengan Perdana Menteri mengenai isu yang melanda LGM tetapi sehingga hari ini nampaknya tiada tindakan.

“Ianya mengingatkan kita semua bagaimana Mantan IGP Hamid Bador yang turut mendedahkan kepada umum, Perdana Menteri telah dimaklum berkenaan campur tangan Menteri KDN yang tidak patut berlaku.

“Ini telah meyakinkan kami yang Perdana Menteri kita tidak mampu membetulkan apa yang salah,” kata SEDAR Malaysia dalam satu kenyataan menerusi Facebook mereka.

Menurut SEDAR Malaysia, mereka masih mempunyai beberapa persoalan yang ingin diajukan kepada Menteri Khairuddin at-Takiri dan Nazlan, namun dengan status terkini YB Nazlan ianya jelas yang isu LGM ini tidak lagi boleh dipanjangkan dan tindakan segera mesti diambil.

“SEDAR Malaysia memang tidak berniat untuk membuat laporan ke SPRM kerana kami tidak percaya yang SPRM akan bertindak.

“Ini adalah kerana sejak beberapa tahun ini kami melihat bagaimana tindak tanduk SPRM telah menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat,” kata kenyataan itu.

Rancangan awal mereka adalah untuk membuat aduan kepada Jawatankuasa Akaun Awam oleh Parlimen atau PAC.

“Rancangan awal kami ialah selepas tujuh hari mempersoalkan bertalu-talu isu berkenaan LGM kami akan membuat aduan ke Jawatankuasa Akaun Awam oleh Parlimen atau PAC. Ianya diwakili oleh Ahli Parlimen dari pelbagai pihak,” kata mereka.

Mereka yakin PAC boleh memastikan segala pendedahan dan soalan-soalan mereka terjawab.

“Oleh kerana isu LGM ini telah menjadi satu skandal yang begitu besar dan tidak boleh dilengahkan lagi, kami akan menghubungi Pengerusi PAC YB Wong Kah Woh secepat mungkin untuk mengaturkan mesyuarat rasmi berkenaan isu ini.

“Kami juga telah menerima banyak maklumat berkenaan beberapa lagi salah laku oleh YB Menteri Khairuddin at-Takiri dan beberapa menteri yang lain. Kami sedang meneliti fakta-fakta yang diberikan,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Nazlan sahkan beliau ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi LGM