Malaysia Dateline

NGO terus agih bantuan makanan di Kuching

Persatuan Peduli Rakyat Kuching (PEDULI) Sarawak terus giat mengagihkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan sejak Kawalan Perintah Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, setakat ini kira-kira seramai 150 ketua isi keluarga di seluruh Kuching telah menerima sumbangan berkenaan.

Katanya, bantuan yang diagihkan adalah berupa makanan keperluan asas selain pakaian yang disumbangkan oleh orang ramai di sekitar Kuching.

“Alhamdulilah…kita telah menghantar bantuan ini kepada mereka yang benar-benar dalam kesusuhan ekoran terkesan sepanjang PKP ini.

“Setakat ini, seramai 150 ketua isi rumah yang kurang kemampuan telah menerima bantuan ini,” ujar beliau ketika menyerahkan bantuan kepada penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Demak Laut hari ini.

Hud Andri menambah, kebanyakan penerima adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai keluarga yang besar serta hanya bekerja sendiri.

Untuk itu, beliau berharap agar bantuan yang disampaikan itu dapat meringankan keluarga yang terkesan sepanjang PKP dikuatkuasakan ini.

“Semoga sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu keluarga yang terputus pencarian nafkah sepanjang PKP ini, ” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak.